27 C
Kota Kinabalu
Selasa, Februari 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

James sampaikan bantuan kewangan berjumlah RM1.72 juta kepada 18 Pertubuhan Sukarela

Salah seorang Presiden NGO menerima bantuan MPMS disampai James

KOTA KINABALU: Sebanyak 18 Pertubuhan Sukarela yang merupakan ahli Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) menerima bantuan kewangan berjumlah RM1.72 juta daripada Kerajaan Negeri yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR), YB Datuk James bin Ratib.

Bantuan kewangan tersebut disampaikan sebagai tanda Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan NGO dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat yang memerlukan di negeri ini.

Bantuan kewangan Kerajaan Negeri yang diberikan melalui MPMS bertumpuan kepada program Penjagaan dan Pemerkasaan Orang Kurang Upaya; Program Warga Emas Sihat dan Aktif; Aktiviti Keselamatan dan Kesejahteraan Kanak-Kanak; Promosi Kesihatan serta Kebajikan Am.

James turut menyampaikan Sijil Keahlian Majlis kepada dua Pertubuhan Sukarela, iaitu Persatuan Autisme Sabah dan Persatuan Mencegah Pengabaian Keluarga Sabah.

Dengan penambahan dua ahli ini, MPMS kini mempunyai 24 Organisasi Ahli di kalangan kluster: Kanak-Kanak, Wanita dan Keluarga; Warga Tua; Orang Kurang Upaya, Kebajikan Am; Perkhidmatan Masyarakat dan Kemanusiaan; dan Promosi Kesihatan.

MPMS adalah sebuah agensi Kerajaan di bawah KPMKR yang ditubuhkan untuk tujuan utama-menyelaras aktiviti sukarela kebajikan dalam Negeri.

MPMS berkeahlian Pertubuhan Sukarela yang berdaftar dan terlibat dalam kebajikan sosial, perkhidmatan masyarakat dan kemanusiaan.

Ethong, Presiden CEGAH (tengah) menerima Sijil Keahlian MPMS disampaikan James.

Pada hari Khamis, MPMS telah mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi tahun 2024 yang dipengerusikan James sendiri.

“Saya gembira dapat mempengerusikan mesyuarat MPMS buat kali pertama dan bertemu dengan semua wakil daripada Kementerian dan Jabatan Kerajaan serta Pertubuhan-Pertubuhan Sukarela Kebajikan.

“Kita semua bersatu dengan matlamat yang sama iaitu untuk menyediakan perkhidmatan sosial bagi memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.

Menurut James, MPMS memainkan peranan penting dalam memupuk hubungan antara Kerajaan dan NGO.

“Perkongsian ini bukan sekadar formaliti; ia adalah tulang belakang usaha kita untuk memastikan perkhidmatan sosial dan kebajikan kita adalah menyeluruh dan responsif kepada keperluan semasa masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, dalam dunia kini yang berkembang pesat, “kita berhadapan dengan perubahan keperluan sosial yang semakin kompleks.

“Isu seperti populasi yang semakin tua, cabaran kesihatan mental dan integrasi komuniti yang pelbagai menuntut lebih daripada pendekatan tradisional, yan mana ia memerlukan kita menyesuaikan diri dan berinovasi dalam cara kita bekerja.

“Semasa kita menghadapi masyarakat yang bakal menua, kita mesti memikirkan semula cara kita menyampaikan penjagaan dan sokongan, memastikan penduduk warga emas kita boleh menua dengan bermaruah dan mengakses perkhidmatan yang mereka perlukan.

“Begitu juga, isu kesihatan mental, yang telah menjadi semakin menonjol, memerlukan pendekatan yang penuh belas kasihan dan bersepadu yang menghimpunkan penjagaan kesihatan, perkhidmatan sosial dan sokongan masyarakat,” katanya.

Justeru, James yang juga Adun Sugut berkata, dalam menangani cabaran ini, semua pihak mesti bekerja secara kreatif dan kolaboratif untuk menggunakan sumber yang ada dengan lebih baik bagi memaksimumkan impak.

Melalui perkongsian yang berkesan, katanya, idea dan sumber boleh dikongsi, dan ini membolehkan semua pihak membangunkan penyelesaian holistik.

Sementara itu, James memberitahu bahawa kerajaan amat menghargai komitmen yang tidak berbelah bahagi dan sumbangan yang tidak ternilai yang dibuat oleh rakan kongsi NGO.

“Kerajaan Negeri komited untuk mengukuhkan kerjasama ini. Untuk menyokong dan mengukuhkan perkongsian ini, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah menyediakan bantuan kewangan untuk program kebajikan sosial disediakan oleh Ahli MPMS.

“Pembiayaan ini bukan sekadar bantuan kewangan; ia adalah pelaburan dalam misi bersama kami untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat kita,” katanya.
Beliau menambah, mesyuarat tersebut memberikan komitmen kepada semua untuk bekerjasama dan memanfaatkan kekuatan kolektif untuk membina masyarakat yang lebih kukuh dan lebih inklusif.

“Marilah kita komited kepada visi perkongsian ini iaitu kerjasama, keterangkuman dan penyelesaian masalah yang kreatif. Bersama-sama, kita boleh memastikan bahawa masyarakat kita berkembang maju dan sejahtera,” jelas beliau.

Turut hadir di mesyuarat itu, Pembantu Menteri KPMKR, Datuk Flovia Ng, Setiausaha KPMKR, Maria Chong, Pengarah Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah merangkap Pengerusi JK Pengurusan MPMS, Jais bin Asri dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN