25 C
Kota Kinabalu
Selasa, April 22, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

James lancar Program Justice on Wheels keenam

Datuk James (duduk tengah) marakam gambar bersama Dato’ Norazmi, Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Herlina, Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Sabah, , Anne, wakil Pengaran Jabatan Pendaftaran Negara, Sabah dan Joloning, Penolong Pegawai Daerah Kecil Paitan.


PAITAN: Program Justice on Wheels (JoW) yang keenam telah dilancarkan di Pejabat Daerah Kecil Paitan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah Datuk James Bin Ratib pada hari Sabtu.


Menurut beliau, Program JoW anjuran Jabatan Bantuan Guaman (JBG) ini bertujuan untuk memberi khidmat nasihat secara ‘mobile’ kepada orang ramai di lokasi terpilih.


“Semasa program dilaksanakan, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat dari pegawai-pegawai JBG yang bertugas


“Proses mendapatkan khidmat nasihat semasa program JoW adalah sama seperti di klinik guaman di reruai atau dewan awam yang telah diadakan sebelum ini.


“Pelanggan yang hadir perlu mengisi borang khidmat nasihat sebelum berjumpa dengan pegawai bertugas yang ditempatkan dalam van bergerak tersebut,” katanya.


Tambah beliau, bagi menjamin kerahsiaan di antara pegawai dan pelanggan, sebarang rakaman tidak dibenarkan semasa khidmat nasihat berlangsung dan kadar purata masa satu khidmat nasihat beserta penelitian dokumen yang dibawa oleh orang awam adalah 30 minit.


“Semasa khidmat nasihat, penelitian ujian kelayakan dan ujian merit juga akan dijalankan bagi mereka yang berhasrat memohon untuk bantuan guaman.


“Kod QR yang ditampal di sisi dan belakang van akan memudahkan orang awam untuk mendapatkan informasi program JoW ini dan mengakses Gerbang iGuaman di mana pautan pantas kepada perkhidmatan dalam talian JBG telah disediakan,” katanya.


James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan Program Justice On Wheels JBG yang dadakan di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kecil Paitan pada hari Sabtu.


Tambah beliau lagi, Program JoW merupakan komitmen Kerajaan MADANI dalam memberikan akses kepada keadilan bagi setiap lapisan masyarakat tidak kira di mana mereka berada.


“Ini bermakna Program ini memberi manfaat kepada rakyat yang tinggal jauh di pedalaman dalam mendapatkan perkhidmatan bantuan guaman yang diberikan oleh Jabatan Bantuan Guaman, sesuai dengan cogan kata JBG iaitu ‘yang jauh didekati, yang sulit disantuni’,” kata beliau.


Menurut James, Van pertama iaitu van JoW Sabah telah dilancarkan di Dewan Gawir, Kampung Madsiang, Penampang, Sabah pada 25 Januari 2024, van JoW Semenanjung Malaysia telah dilancarkan di Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang, Putrajaya pada 23 April 2024 dan yang terakhir iaitu van JoW Sarawak telah dilancarkan pada 20 Mei 2024 bertempat di Pustaka Negeri Sarawak.


Katanya, sebanyak 5 program JoW Sabah telah dilaksanakan yang bermula pada bulan Januari dan terdapat 2 program lagi yang akan dijalankan dan berakhir pada bulan Oktober 2024.


Pergerakan program JoW Sabah setakat tahun 2024 meliputi kawasan Pitas, Tongod, Papar, Sipitang, Paitan, Sukau dan Tungku.


“Kita boleh melihat sendiri van yang telah diubah suai mengikut kesesuaian dalam memberi khidmat nasihat secara mobile kepada masyarakat yang memerlukan.
“Semoga program ini dapat menyebar luas perkhidmatan kepada masyarakat yang tinggal jauh dari pejabat yang sedia ada,” katanya.


Turut hadir di program itu, Ketua Pengarah Bantuan Guaman Jabatan Bantuan Guaman Dato’ Norazmi bin Mohd Narawi, Penolong Pegawai Daerah Paitan Joloning Joe Majambu, Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Negeri Sabah Herlina binti Muse dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN