31 C
Kota Kinabalu
Rabu, Disember 4, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

James edar bubur lambuk sempena Bulan Ramadan

James dan yang lain mengaul bubur lambuk di perkarangan Wisma Wanita, pada Selasa

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib mengambil peluang sempena Bulan Ramadan kali ini dengan mengedarkan Bubur Lambuk kepada beberapa buah masjid, kakitangan kerajaan dan NGO dekat sini pada hari Selasa.

Sebanyak 1,200 peket Bubur Lambuk diedarkan sempena Program Ukhuwah Ramadan anjuran bersama JHEWA, SWISE dan Adabi bertempat di Dewan Perkarangan Parkir Wisma Wanita pada hari Selasa itu.

Bubur Lambuk turut diedarkan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Sr Lee Chun Khiong dan Pengarah JHEWA, Hjh. Haslina Ismail.

Menurut James, antara lain tujuan program tersebut diadakan ialah untuk memupuk amalan gotong-royong, kesukarelawan, selain membentuk jati diri di kalangan pihak kerajaan melalui penjawatnya.

“Ia juga bagi menyemarakkan iltizam dan bersama berganding bahu antara kerajaan, persatuan-persatuan NGOs seperti SWISE dan ADABI dalam melaksanakan aktiviti kebajikan sebegini di masa hadapan.

“Selain itu, program ini juga memberi manfaat kepada golongan sasaran iaitu masyarakat setempat, masjid, madrasah, warga Wisma Wanita serta agensi di bawah KPMKR,” kata beliau.

Beliau yang juga Adun Sugut berkata, objektif utama Program Ukhuwah Ramadan ini adalah untuk membudayakan masyarakat prihatin dan bertanggungjawab dengan perkhidmatan cemerlang ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

“Program ini juga adalah sebagai salah satu usaha kebajikan pada kerajaan serta para NGOs yang sentiasa komited dalam memperjuangkan dan membela nasib rakyat yang meliputi keseluruhan masyarakat tanpa mengira kaum dan fahaman politik.
“Ia dilihat dapat merapatkan hubungan antara Kerajaan bersama Persatuan NGOs agar dapat menyantuni rakyat di luar sana,” kata beliau.

James(tengah) mengagihkan bubur lambuk kepada penerima

James berharap agar program Ukhuwah Ramadhan ini akan diperluaskan lagi agar semua golongan sasar akan mendapat manfaat.

“Kita juga berharap agar program ini menjadi program tahunan agar lebih banyak persatuan NGOs wanita di Sabah tampil dan memberi kerjasama dengan pihak Jabatan Hal Ehwal Wanita seiring dengan harapan mensejahterakan rakyat negeri Sabah,” kata beliau.

Pek bubur lambuk melalui program itu akan diagihkan kepada Masjid Nur Hidayah Taman Keramat, Masjid Jamek Kg Likas, Masjid Al Kauthar Tanjung Aru, Masjid Al-Falah Kepayan, Madrasah Wakaf Islamiah Sabah dan agensi di bawah KPMKR.

Bubur lambuk turut diagihkan kepada Warga Wisma Wanita dan masyarakat setempat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN