MESRA….James ketika berbual mesra dengan salah seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa dera di Keningau, baru-baru ini. James turut diiringi Flovia Ng
KENINGAU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah Datuk James Ratib berhasrat untuk mengambil salah seorang daripada dua mangsa dera di Keningau sebagai anak angkat.
Semasa melawat mangsa di hospital pada Sabtu, James memerhatikan reaksi bersemangat dan keupayaan mereka untuk menjawab beberapa soalan yang dikemukakan.
“Mereka gembira sambil menerima hadiah yang diberikan kepada mereka. Mereka sudah mula tersenyum dan menjawab pertanyaan.
“Mereka mahu diselamatkan dan bersetuju dengan idea menjadi anak angkat,” katanya.
James berkata, mangsa yang berumur lima tahun enggan pulang ke pangkuan keluarganya dan sanggup diambil sebagai anak angkat oleh Menteri.
Menurut James, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap dua mangsa lelaki itu selepas mereka meninggalkan hospital.
Tambahnya, jika tiada waris yang menuntut mereka, Jabatan akan menjaga mereka sehingga mereka mencapai umur 18 tahun.
“Mangsa yang lebih tua daripada mangsa yang seorang lagi adalah anak orang tempatan, mempunyai dokumen dan boleh dituntut oleh warisnya berdasarkan penilaian Jabatan.
“Tetapi yang seorang lagi tiada dokumen. Kami tidak tahu tentang latar belakangnya selain dia telah diambil oleh penjaga ketika berusia sebulan dan penjaga tidak mengetahui latar belakang ibu bapa kanak-kanak itu.
“Jabatan akan menyediakan semua dokumentasi berkaitan dan apabila siap boleh dijadikan anak angkat oleh oleh sesiapa yang layak,”katanya kepada media.
Salah seorang Pegawai Jabatan Kebajikan menjelaskan bahawa prosedur pengambilan anak angkat hanya boleh dimulakan sekiranya semua kertas yang diperlukan telah dilengkapkan.
Kanak-kanak lelaki berusia 13 dan 5 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan akan berada di hospital sehingga kecederaan mereka sembuh sepenuhnya.
Kedua-duanya mengalami kecederaan serius di hampir setiap bahagian badan mereka selepas dipukul dengan besi dan objek keras oleh penjaga yang tidak ada pertalian antara satu sama lain.
Pusat Kebajikan Kanak-Kanak Sabah Bukit Harapan juga menyatakan ketersediaan untuk mengambil dan menjaga kedua-dua mangsa berkenaan di pusatnya di Jalan Tuaran sehingga dewasa.
Pengasas Ibu Rumah Bukit Harapan Datuk Anne Keyworth berkata beliau pasti kedua-dua mangsa akan mendapat keselesaan dan kasih sayang di Rumah berkenaan.