Ewon diberi taklimat oleh jurutera Ibu Pejabat JKR.
KOTA BELUD: Sebuah jambatan baru sedang dalam proses pembinaan bagi menggantikan low level crossing di Jalan Pomotodon, Kota Belud yang rosak berikutan hujan lebat beberapa bulan lepas.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Belud telahpun melantik kontraktor dan kerja-kerja awal sedang dilaksanakan.
“Pembinaan jambatan ini merupakan pendekatan baharu menggantikan laluan low level crossing yang terjejas teruk.
“Saya telah diberi taklimat bahawa kontraktor yang telah dilantik sudahpun memulakan kerja-kerja awalan.
“Saya akan terus memantau beberapa lagi kerja-kerja membaikpulih, membina baharu atau menyelenggara jalan-jalan dan jambatan-jambatan di bawah JKR yang berada dalam kawasan DUN Kadamaian,” kata Ewon.
Beliau berkata demikian semasa meninjau kerja-kerja permulaan kontraktor di lokasi pembinaan jambatan serta kerja-kerja membina laluan sementara di jalan runtuh pada lokasi berkaitan di Jalan Pomotodon, pada Sabtu.
Turut serta dalam lawatan itu, Pegawai Daerah Kota Belud Hajah Diyanah Abdullah, Jurutera Daerah Kota Belud Shim Pau Kiong, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian Saikom Watis serta pegawai-pegawai dari agensi teknikal berkaitan.
Berkenaan dengan kejadian tanah runtuh baharu di lokasi berasingan di Jalan Pomotodon, Ewon berkata, JKR sedang membina laluan sementara dan Sabah Electricity Sdn.Bhd (SESB) akan melaksanakan kerja memotong tiang grid yang tergantung akibat tanah runtuh.
“Untuk jangka masa panjang, JKR akan membina saliran culvert yang lebih besar serta mengalihkan saliran parit yang menjadi punca kepada runtuhan jalan di kawasan itu, sebelum membina semula lauan asal yang runtuh.
“Bagaimanapun, ia memakan masa dan peruntukan yang besar. Kita juga berharap agar keadaan cuaca kembali pulih supaya kerja-kerja ini dapat diteruskan,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, Ewon turut diberi taklimat oleh JKR mengenai perkembangan projek naiktaraf beberapa jalan utama dan jambatan di Kadamaian.http://Borneo Daily Bulletin