Jamawi melayan para pengunjung pada majlis rumah terbuka itu
TENOM: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kawasan Melalap Datuk Haji Jamawi Jaafar menyambut baik kenyataan Menteri Fadhlina Sidek yang mengatakan 218 daripada 338 sekolah daif di Sabah sudah selesai dibina semula.
Jamawi berkata, ini membuktikan kerajaan perpaduan dengan slogan Madani benar-benar mengambil perhatian tentang pembangunan pendidikan di Sabah.
Katanya, beliau berterima kepada Kementerian Pendidikan Malaysia yang prihatin dengan isu sekolah daif di Sabah khususnya di kawasan Pedalaman.
“Salah satu sekolah yang turut dibina semula adalah sekolah saya dahulu, Sekolah Kebangsaan (SK) Jawa Sumbiling Melalap Tenom, sekarang sudah sudah bangunan konkrit” katanya.
Tambahnya, beliau juga dimaklumkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah bahawa 16 buah sekolah daif lagi di daerah ini akan dibina semula.
Jamawi yang juga Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC) berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau dan keluarga di rumah kediaman mereka di Taman Lebih Maju di sini pada Sabtu.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkaitan sekolah daif di Sabah.
Fadhlina dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, 218 daripada 338 projek pembinaan semula sekolah daif telah diselesaikan di Sabah.
Fadhlina berkata, 60 projek pula sedang dalam proses pembinaan dan dijangka selesai tidak lama lagi.
Manakala baki 60 projek lagi sedang dalam peringkat prabina.
Pada masa sama Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyalurkan peruntukan bagi menaiktaraf bangunan-bangunan klinik di Sabah.
Mengulas majlis rumah terbukanya, Jamawi berkata, kehadiran lebih kurang 5,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang itu menunjukkan betapa suburnya perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat di daerah ini.
Menurutnya, perbezaan kaum dan agama serta faham politik yang berbeza tidak menghalang masyarakat di daerah ini duduk semeja dalam mana-mana sambutan perayaan yang diraikan di negeri ini.
Jamawi juga merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir pada majlis rumah terbuka itu.