25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Oktober 30, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

JAKIM Sabah Fokus Isi 200 Kekosongan Guru KAFA Menjelang 2026

MESRA…Tun Musa (kanan) berbual mesra bersama Baharudin (tengah) di Istana Seri Kinabalu pada Rabu.

KOTA KINABALU : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah memperkukuh pelaksanaan program keagamaan antaranya dengan memberi tumpuan pengisian kekosongan 200 perjawatan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) menjelang tahun 2026.  

Pengarahnya, Dr. Baharudin Othman berkata, langkah itu akan dilaksanakan melalui kerjasama rapat dengan agensi agama negeri bagi memastikan pendidikan agama dapat disampaikan secara menyeluruh kepada anak-anak di seluruh Sabah.

“Ketika ini terdapat seramai 2,400 guru KAFA di seluruh Sabah, dengan kira-kira 200 kekosongan masih perlu diisi bagi memastikan pendidikan agama dapat disampaikan secara menyeluruh kepada anak-anak di negeri ini.


“Peranan guru KAFA amat besar dalam membantu pendidikan agama bersama agensi jabatan agama Islam negeri dan kita akan berusaha mengisi kekosongan yang ada demi manfaat anak-anak negeri Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Rabu.


Menurut Baharudin, kunjungan hormat itu adalah sebagai pengenalan rasmi beliau selaku Pengarah JAKIM Cawangan Sabah yang baharu setelah memulakan tugas pada 10 September menggantikan Datuk Norjeli Dais yang bersara wajib pada 9 September lalu. 


Sebelum ini, beliau bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan. 
Hadir sama, Pensyarah Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr. Nurul Hudani Md Nawi, Penolong Pengarah Kanan Unit Pengurusan Pentadbiran, Khairunnisa Yusof, Penolong Pengarah Kanan Unit Pengurusan Dakwah, Nor Diyana Mohamed Rais dan Penolong Pengarah Unit Komunikasi Strategik, Korporat dan Inovasi, Zaimatul Nadia Anuar. /Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN