30 C
Kota Kinabalu
Rabu, April 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Jahid Sambut Setiausaha Tetap KPLB Sabah Yang Baharu

TAHNIAH …. Jahid menyaksikan sesi Nota Serah Tugas daripada Setiausaha Tetap terdahulu, Norlijah (kiri), yang kini telah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) Sabah berkuat kuasa 18 Februari 2025, kepada Hajah Myrna (kanan).

KOTA KINABALU, 14 Mac – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, bersama seluruh kakitangan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, mengalu-alukan kehadiran Setiausaha Tetap yang baharu, Puan Hajah Myrna Jimenez @ Isabelo, dalam satu majlis rasmi yang diadakan di Dewan Rafflesia, KPLB Sabah, hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan Nota Serah Tugas daripada Setiausaha Tetap terdahulu, Datuk Norlijah Hj Danin, yang kini telah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) Sabah berkuat kuasa 18 Februari 2025.

Dalam ucapannya, Jahid menzahirkan penghargaan atas dedikasi dan komitmen tinggi Datuk Norlijah sepanjang hampir tiga tahun menerajui pentadbiran KPLB Sabah.

“Hari ini adalah detik penting bagi Kementerian kerana kita menyaksikan kesinambungan kepimpinan dalam usaha kita untuk terus memperkasa pembangunan luar bandar di Sabah.

“Saya yakin dengan pengalaman dan kepimpinan Puan Hajah Myrna, kita akan terus melaksanakan agenda pembangunan yang telah dirancang,” katanya.

Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata, peralihan kepimpinan ini diharapkan dapat memperkukuh hala tuju pembangunan luar bandar Sabah, selari dengan aspirasi kerajaan negeri dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut menekankan kepentingan kesinambungan dalam sistem pentadbiran daerah serta mengajak semua pihak untuk terus bekerjasama demi kepentingan rakyat Sabah.

Terdahulu, Hajah Myrna menyatakan kesediaannya untuk meneruskan kerjasama erat bersama semua pegawai dan warga kerja KPLB Sabah.

“Saya berharap hubungan kerja yang baik ini akan kekal utuh dan terus diperkasakan bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan luar bandar dapat direalisasikan dengan berkesan,” ujarnya.

Sementara itu, Norlijah dalam ucapannya turut berterima kasih atas sokongan semua Pegawai Daerah, Penolong Pegawai Daerah, Presiden Majlis Perbandaran Daerah serta seluruh warga KPLB Sabah yang telah bersama-sama menjayakan agenda transformasi luar bandar sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Tahniah kepada Hajah Myrna. Saya yakin dengan pengalaman beliau, kesinambungan perancangan yang telah disusun akan dapat diteruskan dengan baik,” katanya.

Sebagai pengisian majlis, hadirin turut disajikan dengan tayangan video perpisahan dan penghormatan kepada Datuk Norlijah, serta ucapan selamat datang kepada Hajah Myrna.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan Ceramah Ramadhan sebelum para tetamu dan kakitangan berbuka puasa bersama.- ATENG

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN