HARAP BERSABAR ….Jahid menyerahkan sumbangan peribadi beliau sambil disaksikan PPM Tamparuli, Madin Anak dan Ketua Kampung Kampung Puhus.
TAMPARULI: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, melawat mangsa rumah terbakar awal pagi kelmarin, di Kampung Puhus Tamparuli, hari ini.
Mangsa, Syairin Matundan, dan keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kebakaran itu memusnahkan keseluruhan rumah mereka sehingga tiada barangan yang sempat diselamatkan.
Lebih menyedihkan, seorang daripada anaknya bersekolah di Tingkatan 5 dan akan menduduki peperiksaan SPM hari ini manakala dua lagi adiknya juga bersekolah masing-masing di Tingkatan 2 dan Darjah 4.
Jahid bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak hadir memberi sokongan kepada keluarga berkenaan, dan seterusnya menghulurkan sedikit sumbangan kewangan bagi meringankan beban mangsa sekeluarga.
“Kita mengharapkan agar seisi keluarga yang terlibat dapat bersabar dengan apa yang berlaku, semoga segala urusan-urusan selanjutnya termasuklah bagi membantu dari segi keperluan kebajikan mereka nanti akan dipermudahkan,” katanya.
Turut hadir para pemimpin dari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ketua Kampung Puhus.
Dalam satu kenyataan media dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Sabah, pihak mereka menerima panggilan kecemasan jam 07.36 pagi melalui talian Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999) yang melibatkan kebakaran sebuah rumah beralamat di Jalan Kapak, Kampung Puhus, Tamparuli.
Selanjutnya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran digerakkan ke lokasi kejadian melalui jarak 20KM daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran.
Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Azran Jull bersama 9 anggota penyelamat pelbagai pangkat dengan kekuatan logistik 1
buah jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT) dan 1 buah kenderaan Emergency
Medical Rescue Service (EMRS).
Menurut Komander Operasi (K/O), kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 50’X30’ kaki telah terbakar 90%.
Turut terbakar 2 buah kenderaan, iaitu jenis Perodua Bezza, dan Perodua Viva, telah terbakar masing-masing 90%.
Pasukan bomba telah berjaya mengawal api dari terus merebak pada jam 08.40 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 10.40 pagi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Bahagian Penyiasatan Zon 1 Sabah (Kota Kinabalu) .