HEBAT …. Jahid mencuba cermin mata 3D yang diperkenalkan oleh Senior Instructor of CENTEX, Bebe Yanti Mohamed, ketika melawat ke pusat digital tersebut, sambil disaksikan Ruddy, Samad, dan Norlijah.
KUCHING: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) telah mengadakan lawatan ke Kementerian Industri Makanan, Komoditi, Dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD) selama empat hari di Kuching, Sarawak bermula 30 Julai hingga 02 Ogos 2024.
Mengetuai rombongan KPLBS ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim.
Turut mengiringi Jahid ialah Pembantu Menteri I, Dato’ Sri Dr Ruddy Awah, Pembantu Menteri II, Datuk Samad Jambri dan Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Norlijah Hj Danin.
Terdahulu, ketibaan Jahid pada Selasa di Lapangan Antarabangsa Kuching disambut oleh Penasihat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak), Tan Sri William Mawan Ikom, bersama kakitangan MFICORD.
Antara kawasan yang dilawati rombongan KPLBS ialah Plantation, Smart Farming & Aquaculture (CENTEX), Joeyees Trading Sdn. Bhd, Meliponi Skincare Beauty & Health, Reka Jaya Plantation Sdn. Bhd (Bintawa), dan Borneo Culture Museum.
Sepanjang lawatan ke CENTEX, mereka diberi taklimat oleh Senior Instructor of CENTEX, Bebe Yanti Mohamed, dan rombongan turut berpeluang melawat hampir kesemua ruang bangunan tersebut.
TENUNAN SONGKET …. Jahid melihat bagaimana proses menenun songket dibuat ketika melawat Keringkam & Songket Lab.
Seterusnya, di Joeyees Trading Sdn. Bhd, usahawan berjaya, Awaeang Anak Kwasin telah memperkenalkan produk terkenal berasaskan lada (Pemprosesan Hasilan Lada), Nang Ori.
Selepas itu, pengusaha, Dayang Sophia Abang Taha, dari Sophia Taha Holdings, telah memperkenalkan perusahaan berasaskan Madu Kelulut, iaitu Meliponi Skincare Beauty & Health.
Lokasi terakhir dilawat mereka pada Rabu ialah di Reka Jaya Plantation Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengumpul hasil biji kopi daripada petani-petani di seluruh Sarawak.
Taklimat telah disampaikan oleh pemilik Syarikat Reka Jaya Plantation Sdn Bhd. sendiri, Edward C K Yong.
Program pada Khamis pula menyaksikan rombongan dibawa melawat ke Borneo Culture Museum, dan seterusnya program makan tengahari sebelum keberangkatan balik Jahid bersama rombongan dari Pejabat Menteri ke Sabah.
Lawatan diadakan bagi mengeratkan silaturrahim kedua-dua pihak, di samping mengenal pasti program ataupun projek kerjasama dua hala yang boleh dilaksanakan dalam pembangunan luar bandar antara Sabah dan Sarawak.
–ATENG–