29 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Jahid Jahim selesai menerima suntikan vaksin COVID-19

DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT …. Jahid ketika menerima suntikan Vaksin Covid-19 di Hospital Tuaran, hari ini.

TUARAN: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim bersama beberapa pemimpin di kawasan Parlimen Tuaran selesai menerima suntikan vaksin COVID-19, di Hospital Tuaran, di sini hari ini.

Beliau merupakan antara pemimpin yang menerima suntikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Turut sama menerima suntikan tersebut ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayan Dan Alam Sekitar Sabah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, dan Pembantu Menteri Kewangan merangkap Adun Pantai Dalit, YB Jasnih Hj Daya.

Menurut Jahid ketika ditemui wartawan, berdasarkan rekod yang ada, seharusnya Tuaran mempunyai seramai 84,400 jumlah populasi penduduk berusia 18 tahun ke atas, yang layak untuk disuntik.

Namun, katanya, setakat tarikh hari ini (21 Mac 2021), jumlah yang berdaftar di My Sejahtera hanya seramai 14,652 orang, iaitu bersamaan 17% jumlah tersebut.

Justeru, beliau menyeru kepada seluruh masyarakat agar mendaftar nama mereka di My Sejahtera segera bagi membolehkan mereka mendapat peluang menerima suntikan vaksin tersebut.

Ditanya mengenai pengalaman beliau ketika disuntik, katanya, beliau sendiri merasakan bahawa suntikan itu normal, tidak menyebabkan kesakitan atau rasa pening.

“Selepas melalui suntikan, kita juga telah disuruh berehat, dan rasanya tidak ada perkara yang menakutkan berlaku,” tambahnya.

“Jadi, saya ingin menyeru kepada semua warga Tamparuli, Tuaran dan Sabah secara keseluruhannya untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 demi untuk kesejahteraan rakyat, marilah kita memberi sokongan dan sambutan sepenuhnya dalam proses suntikan ini.

“Insyallah keadaan semuanya terkawal dan baik untuk semua demi kesejahteraan rakyat pada keseluruhannya,” ujar Jahid.

Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli berharap agar rakyat sedar akan kepentingan vaksin dan meningkatkan pembacaan mengenainya.

Pada kesempatan itu, Jahid turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan petugas perubatan yang diketuai Pengarah Hospital Tuaran, Dr G.Mohan, atas khidmat yang diberikan sepanjang proses vaksinasi berlangsung.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN