26 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Jahid Jahim lawat mangsa terjejas banjir dan tanah runtuh di Kg.Bawang

LAWAT KAWASAN …. Jahid bersama pemimpin masyarakat Tamparuli, melawat ke sebuah rumah yang dilanda tanah runtuh di Kampung Bawang

TAMPARULI: Enam keluarga yang terjejas akibat banjir kilat dan tanah runtuh di Kampung Bawang, dekat sini menerima lawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, di rumah mereka hari ini. 

Menurut laporan awal, banjir dan tanah runtuh yang berlaku, bukan sahaja menjejaskan kawasan rumah, malah turut mengancam keselamatan penduduk yang terbabit. 

“Hari ini kita telah melihat sendiri keadaan yang berlaku di Kampung Bawang, dan sememangnya memerlukan perhatian dan tindakan segera kerana selain menjejaskan lebih kurang enam kawasan tempat tinggal disebabkan runtuhan dan hakisan tanah, ia juga mengancam keselamatan orang kampung,” katanya. 

Justeru, beliau telah mengarahkan UPPM dan kepimpinan kampung menguruskan khidmat jentera tolak bagi mengorek tanah yang menimpa rumah yang terlibat, kerana bimbang perkara sama akan berulang dan menjadi semakin teruk sekiranya tiada tindakan diambil. 

Manakala, kos bagi menampung perbelanjaan khidmat jentera tolak tersebut akan ditanggung oleh Jahid sendiri. 

“Kita juga akan membuat laporan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tamparuli untuk tindakan selanjutnya nanti,”. 

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. 

Sementara itu, beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, meminta kepada semua mangsa terlibat agar sentiasa berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan, kerana keadaan cuaca yang tidak menentu. 

“Selain mengambil langkah berjaga-jaga, sekiranya keadaan menjadi semakin teruk, saya nasihatkan agar semua keluarga mengambil inisiatif untuk berpindah ke tempat lebih selamat,” katanya. 

Beliau turut diiringi Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak dan kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS), Ketua Kampung Bawang, KK Petrus Kinsoi, dan beberapa pemimpin masyarakat lain. 

Selain turun padang bagi meninjau sendiri keadaan rumah mangsa, dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang, yang turut terjejas akibat banjir, Jahid turut menyampaikan bantuan bakul makanan dan sedikit sumbangan wang tunai kepada semua ketua isi rumah (KIR) yang terlibat. 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN