JAHID diberi taklimat mengenai senarai produk yang terdapat di dalam Desamall.
PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim telah mengadakan Lawatan Kerja ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya, di sini hari ini.
Beliau yang diiringi Setiausaha Perhubungan Awam KPLBS, Romeo Sindeh dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri KPLBS, Haris J Mintu, disambut Setiausaha Bahagian (SUB) Ekonomi Komuniti (EK), Dato’ Mohd Rusdi Mohd Darus.
Sepanjang lawatan tersebut, Jahid diberi taklimat ringkas mengenai Desamall, selain turut berkunjung ke kawasan Desamall di bawah unit Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti KPLB.
Menurut Jahid, selain berupaya meluaskan pasaran bagi barang-barang keperluan dan makanan dari Borneo terutamanya barangan yang sering mendapat permintaan tinggi dalam kalangan orang Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung, Desamall juga dapat membantu membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat.
“Dengan meluaskan perniagaan mereka secara dalam talian, mereka akan dapat menjual kepada pembeli dari negeri-negeri lain yang tidak mempunyai pasar seperti ini,” katanya.
Untuk rekod, Desamall merupakan satu inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka ke dalam pasaran domestik melalui platform terkenal e-dagang seperti Lazada, Shopee, 11streets dan banyak lagi.
Turut hadir Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) Ekonomi Komuniti A, Nor Maarof Idris, dan Pengarah Urusan Elokal Sdn Bhd, Ahmad Shah.