UNTUK KENANGAN …. Jahid mengabadikan gambar kenangan bersama murid-murid Tahun Enam SK Kauluan.
KOTA KINABALU: Golongan pelajar disaran agar menjadikan ilmu sebagai pelita, akhlak sebagai pedoman, dan cita-cita sebagai obor yang sentiasa menyala.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, kejayaan bukan hanya hasil kebijaksanaan, tetapi juga lahir daripada ketekunan, kejujuran, dan keinginan untuk terus melakar kejayaan.
“Setiap langkah yang diambil oleh anak-anak ini mencerminkan semangat juang dan potensi besar untuk menjadi pemimpin, doktor, jurutera, dan ahli akademik masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Tahun 6 Sesi 2024/2025 Sekolah Kebangsaan (SK) Kauluan, Tuaran, di sebuah hotel di Kota Kinabalu, dekat sini, pada Jumaat.
Katanya, beliau bersama kerajaan sentiasa komited untuk terus memperjuangkan sistem pendidikan yang berkualiti, inklusif, dan progresif bagi memastikan masa depan yang cerah buat generasi muda.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, berkata, kejayaan pelajar diraikan sebagai hasil usaha bersama yang melibatkan dedikasi tinggi daripada semua pihak.
“Majlis hari ini bukan sahaja untuk meraikan kejayaan akademik tetapi juga sebagai simbol pengiktirafan kepada usaha para guru dan ibu bapa dalam mendidik anak-anak bangsa,” tambahnya.
Pada majlis berkenaan, seramai 27 orang murid Tahun Enam SK Kauluan menerima sijil tamat persekolahan mereka.
Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Sulit Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, William Ugau, Guru Besar SK Kauluan, Puan Siti Alinah Bukari, guru-guru, ibu bapa, dan komuniti sekolah.



