Jumail@Jumain Latip
BELURAN: Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Negeri Sabah (KEPKAS) disaran menjadikan daerah Beluran sebagai sebuah kawasan tarikan pelancongan khususnya dalam mempromosikan industri berasaskan sajian udang galah dan ikan baung yang terdapat di sekitar perairan daerah itu.
Menyatakan demikian, Ketua Umno Bahagian Beluran, Jumail@Jumain Latip berkata, produk udang galah dan ikan baung daerah Beluran antara yang berkualiti tinggi untuk sajian menu masakan dan berpotensi dimajukan sebagai salah satu produk pelancongan.
“Setiap pengunjung yang datang ke Beluran pastinya akan menjadikan udang galah dan ikan baung yang dijual para nelayan sebagai menu utama. Kedua-dua produk perikanan ini antara yang tinggi kualitinya dan jika dipromosikan dengan lebih luas lagi, sudah tentu daerah ini akan dikenali ramai”. Jelasnya.

Udang Galah dan Ikan Baung antara produk perikanan utama daerah Beluran yang berpotensi dimajukan sebagai salah satu tarikan pelancong.
Katanya, usaha turun padang perlu digerakkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar bagi meninjau kawasan yang sesuai dibangunkan sebagai salah sebuah pusat tarikan pelancong untuk membina restoran terapung mahupun bangunan kekal di Pekan Beluran bagi menjayakan cadangan tersebut.
Jumail turut menjelaskan, daerah itu perlu dijadikan seperti pekan-pekan di negeri Pahang yang terkenal dengan masakan ikan patin dan sudah tentu dapat mempromosikan kepada masyarakat luar mengenai keunikan daerah Beluran.
“Dalam masa sama, para peniaga tempatan di daerah ini juga akan mendapat manfaat untuk terus mempelbagaikan produk jualan mereka sekiranya terdapat ramai pengunjung luar datang ke sini”. Katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau juga berharap kerajaan mempertimbangkan usaha untuk menaiktaraf muara sungai Beluran agar suasana menjadi lebih indah untuk menarik pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke daerah tersebut.