30 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

ISU PERKAHWINAN KANAK-KANAK PERLU DIPERHATIKAN SEMULA: JAMES

CENDERAHATI.. Flovia (kiri) menerima cenderahati disampaikan Dg Affifah, mewakili pengarah JHEWA, sambil disaksikan Rubin dan yang lain


TENOM: Isu perkahwinan di kalangan kanak-kanak perlu diperhatikan dari dimensi yang berbeza, sejajar dengan perjalanan masa yang kian mencabar, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib.


Menurut beliau, isu perkahwinan awal perlu mendapat perhatian dari semua pihak secara holistik kerana perkahwinan merupakan perkara yang indah sekiranya ia dimaterai pasangan yang telah matang dan telah cukup bersedia.


“Sekiranya ingin dibandingkan, pada zaman dahulu perkahwinan di usia yang terlalu muda, khususnya kanak-kanak dipraktikkan kerana keadaan sosioekonomi, peluang pendidikan dan realiti hidup yang membuatkan amalan itu normal.


“Namun kini, dengan adanya peluang pendidikan yang jauh lebih baik, kemajuan teknologi, keadaan sosioekonomi yang positif dan kesedaran terhadap betapa pentingnya kanak-kanak diberikan peluang mengembangkan potensi diri.


“Sesungguhya, perkahwinan bukan sepatutnya menjadi pilihan untuk keluar daripada sebarang bentuk permasalahan, apa lagi jika ia dikaitkan dengan isu kemiskinan,” tegas beliau.

KENANGAN… Flovia, Rubin…merakam gambar kenangan bersama para peserra dan tetamu yang hadir


James berkata demikian semasa merasmikan Program Kesedaran Menangani Isu Perkahwinan Awal Kanak-Kanak (MIPA) anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) di Dewan Sri Ontoros Kemabong, Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.


Program tersebut berfungsi sebagai platform untuk agensi pelaksana serta rakan strategik JHEWA yang terlibat turun bertemu masyarakat, para belia, pemimpin-pemimpin daerah serta seluruh komuniti setempat.


Melalui program ini juga, tindakan serta isu-isu yang berkaitan dapat diwar-warkan, ditambahbaik dan membantu peserta selepas program berlangsung.


“Saya percaya, dengan penganjuran program kesedaran ini, isu perkahwinan awal kanak-kanak dapat dibendung atau sekurang-kurangnya dikurangkan di daerah kecil Kemabong.


“Saya difahamkan daerah ini mencatatkan 10 kes sepanjang tahun 2018 hingga 2022 melalui statistik yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri (MAN).


“Semoga perkongsian ilmu berkaitan perkahwinan awal sebentar tadi menjadi pencetus kepada kesedaran yang lebih tinggi sekaligus menjadikan Sabah lebih mesra kepada kelestarian wanita serta menjamin keluarga Malaysia yang lebih harmoni serta sejahtera,” ujar beliau.


Sementara itu, James yang juga ADUN Sugut berkata, pendirian Kementerian KPMKR dan agensi dibawahnya ialah untuk memastikan usaha-usaha pemerkasaan wanita akan sentiasa diutamakan.


“Dengan konteks semasa dalam negara yang mana masih terdapat beberapa halangan yang perlu ditangani dalam usaha kita mengangkat martabat wanita serta golongan yang memerlukan ke puncak lebih tinggi.


“Saya yakin, program kesedaran seumpama ini membuka fikiran para hadirin berkenaan isu perkahwinan awal kanak-kanak ini. bukan sahaja sekadar suatu penegasan, tetapi bersama dengannya, kementerian komited untuk melaksanakan perubahan bagi membela hak-hak manusia sejagat, khususnya wanita,” kata beliau.


James berterima kasih kepada ADUN Kemabong Datuk Rubin Balang, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N43 Kemabong dan Ketua Daerah Kemabong serta semua yang telah terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi SEDCO dan ADUN N43 Kemabong, Datuk Rubin Balang , Penolong Pegawai Tadbir Daerah Kecil Kemabong, Zainal Hj Rimio, Penolong Pegawai Daerah Tenom, Christina Gimbad , Kakitangan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Ketua-ketua adat.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN