28 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 8, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Isu penglibatan murid dalam STEM ditangani: Abidin

Datuk Abidin menerima cenderahati disampaikan encik Muddin

RANAU: Kadar penglibatan murid di dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) terutamanya sains tulen di Sabah semakin menurun dan perkara ini sedang ditangani dengan serius oleh kerajaan.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Bin Madingkir berkata, kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) justeru mengambil langkah-langkah terbaik dalam menangani isu tersebut.

“Jumlah murid yang melanjutkan pengajian dalam bidang Sains tahun ini hanya 27 peratus, masih jauh daripada sasaran kita untuk mencapai target 60:40 (60% Aliran Sains dan 40% Aliran Sastera).

“Hal ini sangat membimbangkan kerana kita mahu sediakan modal insan yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam teknikal, sains dan teknologi bagi memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan,” kata beliau.

Menyedari akan kepentingan Pendidikan STEM, Abidin memberitahu bahawa KSTI telah memberikan peruntukan kepada semua daerah bagi menjayakan program STEM FIESTA berjumlah RM250,000.

“KSTI berharap agar semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dapat menggunakan peruntukan ini sepenuhnya dan sebaik mungkin demi mencapai objektifnya.

“Pada tahun 2024, Kementerian akan menambah peruntukan ini kepada RM15,000.00 untuk setiap PPD seperti yang diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah baru-baru ini,” kata beliau.

Abidin menambah bahawa KSTI juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif pelaksanaan program pembudayaan STEM dengan rakan-rakan strategik dalam dan luar negara bagi menarik minat murid kita di Sabah.

“KSTI baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Perjanjian dengan Guangxi Science and Technology Museum dan melalui kerjasama ini, Kerajaan Republik China bersetuju untuk menempatkan lebih kurang 60 buah bahan pameran sains bergerak untuk ditempatkan di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan selama tiga tahun.

“Diharapkan juga agar bahan pameran ini akan ditempatkan di Beluran bagi melahirkan anak-anak yang cerdik pandai dan berkemahiran tinggi dalam bidang sains dan teknologi,” kata beliau.

Abidin yang juga ADUN N38 Paginatan berkata, KSTI juga telah mengambil inisiatif dalam memperkasakan peranan Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) khususnya dalam menarik minat murid mengikuti Sains, Teknologi dan Inovasi.

Beliau berkata, antara program dan projek utama KSTI ialah pembinaan Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi (Pusat STI) di Perpustakaan Keningau dengan kos sebanyak RM3.0 juta dan dijangka siap pada penghujung 2023.

Menurut beliau, Pusat STI Keningau ini dilengkapi dengan pengisian teknologi terkini berkonsepkan asas Sains iaitu Matematik, Fizik, Biologi dan Kimia dengan diorama persekitaran yang menyeronokkan dan berinformasi.

Selain itu, katanya, kementerian juga turut merancang melaksanakan satu projek berimpak tinggi iaitu pembinaan Pusat Sains Sabah di Kota Kinabalu.

Beliau menambah bahawa KSTI juga telah berjaya mendapatkan persetujuan pembinaan Pusat STI Tawau dan Pusat STI Sandakan yang bernilai lebih daripada RM10.2 juta daripada PETRONAS (RM5.1 juta untuk setiap satu).

“Diharapkan kerjasama dengan PETRONAS dapat diteruskan di semua baki 20 cawangan perpustakaan negeri yang lain,” kata beliau.

Abidin menambah bahawa dalam masa yang sama KSTI turut memberikan dana sejumlah RM320,000 untuk pewujudan 16 buah sudut sains di sekolah rendah.

Menurutnya, sekolah juga boleh memainkan dengan memperkasakan Pusat Sumber Sekolah dengan mewujudkan Sudut Sains.

Selain itu, KSTI juga turut memberi sumbangan bagi membaikpulih 14 Makmal Sains sekolah Menengah pada tahun ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM280,000.

“Kementerian akan berusaha untuk mendapatkan lebih peruntukan agar lebih banyak sekolah akan menerima manfaatnya,” kata Abidin.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Program STEM FIESTA Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau pada hari Khamis.

Majlis tersebut dianjurkan atas kelolaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau, Tambunan dan Telupid/Tongod di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Program STEM FIESTA merupakan program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

“Pada tahun ini, KSTI telah memberikan kepercayaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk menyelaraskan STEM FIESTA di 24 buah Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh Sabah,” kata beliau.

Abidin berkata, pelancaran Program STEM FIESTA Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 dimulakan di Daerah Beaufort pada 16 Mei 2023 dan majlis penutupan diadakan oleh PPD Ranau, Tambunan dan Telupid Tongod.

“Syabas dan tahniah kepada JPNS, PPD Ranau, Tambunan dan Telupid/Tongod, Peserta, Pempamer dan sekolah-sekolah di atas usaha dan kerjasama semua pihak dalam menjayakan pelancaran program ini.

“Teruslah berkolaboratif dalam meningkatkan STEM dalam kalangan anak-anak didik kita, agar kita tidak ketinggalan di mata dunia,” kata beliau.

Abidin berkata, KSTI amat menyokong program-program pembudayaan ilmu berkaitan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) seperti program STEM FIESTA yang bertujuan untuk menarik minat murid dan menepis persepsi bahawa sains itu adalah mata pelajaran yang susah.

Di samping itu, kata beliau, melalui program ini, secara tidak langsung akan meningkatkan kesedaran semua lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, guru-guru dan komuniti mengenai kepentingan Pendidikan STEM dan kerjaya STEM.

“Pengisian STEM FIESTA mungkin berbeza di antara PPD tetapi tetap melibatkan Guru-Guru, murid dan ibu bapa dalam mencapai objektifnya.

“Saya berharap agar program-program seumpama ini dipergiatkan dan dimulakan di peringkat pra sekolah lagi sebagai salah satu usaha kita bagi meningkatkan jumlah penyertaan murid dalam bidang pendidikan aliran STEM (Enrolmen STEM) selaras dengan Pelan Strategik Sabah Maju Jaya dan Pelan Strategik Sepakat Sabah Hebat,” ujar beliau.

Sementara itu, Abidin menjelaskan bahawa dalam usaha untuk mencapai objektif yang disasarkan, penyertaan aktif daripada semua pihak adalah amat diperlukan untuk bersama-sama kerajaan dalam usaha untuk melonjakkan Malaysia ke status negara berteknologi tinggi dan canggih pada masa akan datang.

“Harapan kita, Malaysia boleh berdiri setanding dengan negara-negara maju yang lain, yang mempunyai kepakaran rakyat negara kita sendiri dalam bidang sains, teknologi serta daya kreatif dalam mengetengahkan inovasi.

“Dengan adanya teknologi tinggi segala-galanya akan menjadi mudah dan cepat kerana segala maklumat dan info yang kita mahu hanya berada di hujung jari,” kata beliau.

Justeru, beliau menyeru kepada semua pihak yang berkaitan, baik dari pihak pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), warga sekolah, mahupun komuniti PIBG dan ibu bapa agar dapat bersama-sama menggembleng tenaga memainkan peranan baik sebagai penyokong di peringkat akar umbi.

“Hal ini amat penting dalam merealisasikan agenda negara untuk mewujudkan negara berteknologi tinggi dengan mewujudkan persekitaran yang baik bagi menarik minat anak-anak kita menjadi generasi yang peka dan bersama menjulang kepentingan sains, teknologi dan inovasi dalam kehidupan mereka,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN