JAMES (tengah) ketika menerima cenderahati disampaikan Presiden CEGAH
KOTA KINABALU: Isu pengabaian keluarga boleh dicegah jika semua pihak mengambil tindakan setiap hari untuk melindungi mereka yang memerlukan pembelaan seperti kanak-kanak dan golongan tua.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata bahawa ibu bapa dan penjaga yang mendapat sokongan, samada daripada keluarga, rakan, jiran, dan komuniti, lebih cenderung menyediakan tempat yang selamat dan sihat untuk golongan ini.
“Sebaliknya jika ibu bapa kekurangan sokongan atau berasa terasing, mereka mungkin lebih cenderung untuk membuat keputusan yang boleh menyebabkan pengabaian atau penderaan.
“Semakin ramai golongan yang prihatin kini menyedari bahawa cara terbaik untuk mencegah penganiayaan kanak-kanak adalah dengan membantu ibu bapa mengembangkan kemahiran dan mengenal pasti sumber yang diperlukan bagi memahami dan menggenapi keperluan emosi, fizikal dan perkembangan, serta melindungi anak-anak mereka daripada bahaya,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau menekankan bahawa pencegahan sebenar pengabaian dan penderaan kanak-kanak memerlukan komitmen berskala penuh dan menyeluruh daripada setiap aspek masyarakat.
“Setiap orang mempunyai peranan untuk dimainkan, dan setiap peranan adalah sangat penting. Justeru masyarakat, organisasi, dan rakyat persendirian mengambil tindakan setiap hari untuk melindungi kanak-kanak.
“Pembangunan modal insan di kalangan kanak-kanak adalah sangat penting kerana ini akan memastikan hala tuju masa depan negara akan berada pada landasan yang kita inginkan,” katanya.
Dalam pada itu, James menambah bahawa selain pengabaian dan penganiayaan terhadap kanak-kanak, pengabaiakan terhadap ibu bapa juga semakin menjadi-jadi dan membimbangkan.
Katanya, dalam meniti usia emas, warga tua sepatutnya boleh menyandarkan harapan kepada anak-anak di mana pertalian yang sekian lama terjalin wajarlah ada tautan hingga ke penghujung zaman.
Usaha ini, ujar beliau, adalah untuk mengelakkan warga emas berasa rendah diri, tersisih dan hidup dalam penderitaan dan kesedihan.
“Kita sering mendengar kes anak-anak mengabaikan ibu bapa mereka dan lari daripada tanggungjawab, malah lebih sedih, anak-anak meninggalkan ibu bapa yang sudah lanjut usia di rumah kebajikan,” katanya.
Justeru, tegas beliau, langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini ialah sikap manusia haruslah berbuat baik dengan mengikis sifat memandang remeh kepada orang tua yang kurang bernasib baik dan perlu membuang sifat memandang hina kepada ibu bapa yang dianggap semakin tua semakin tidak berguna dan tidak perlukan lagi.
James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Seminar Memperkasakan Kemahiran Kekeluargaan Peringkat Negeri Sabah 2023 yang diadakan di Raia Hotel, Tabung Haji, Kota Kinabalu pada Sabtu.
Beliau menyeru agar masyarakat memupuk rasa tanggungjawab, perasaan kasih sayang, sokongan dan ikatan kekeluargaan yang kuat oleh ahli keluarga terhadap warga tua terutama sekali ibu bapa mereka sendiri.
“Justeru, saya berharap agar semua peserta seminar yang telibat dapat mengoptimumkan kefahaman terhadap kandungan topik-topik yang telah diberikan oleh barisan penceramah hebat.
“Semoga seminar ini berupaya meningkatkan kemahiran kekeluargaan para peserta. Paling penting ialah dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari melalui program seminar ini dan menerapkannya dalam hidup seharian,” katanya.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pertubuhan Mencegah Pengabaian Keluarga Sabah (CEGAH) sebagai pelaksana seminar, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) sebagai rakan penganjur bersama seminar itu.
Sebagai penghargaan atas komitmen, kesungguhan pertubuhan CEGAH dalam khidmatnya kepada masyarakat demi kesejahteraan rakyat, James selaku Presiden MPMS, menerima permohonan CEGAH untuk menjadi ahli di bawah MPMS.
“Selaras dengan tema ‘Kanak-kanak Adalah Masa Depan Negara, saya menghargai peranan CEGAH yang sejak penubuhannya, menitikberatkan kemampanan institusi kekeluargaan dalam kalangan seluruh masyarakat.
“Adalah menjadi harapan agar seminar ini dapat memberi impak yang mendalam kepada peserta yang hadir, sekaligus menjadikan mereka sebagai pelopor keluarga mampan yang akan mengubah prospek nilai kemasyarakatan di negeri ini kepada satu tahap yang lebih murni,” jelas beliau.