Gambar: Sekadar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 21 tahun membelasah isterinya selepas wanita itu mahu memeriksa telefon bimbitnya di rumah mereka di Taman Kosas, Ampang, dekat sini.
Wanita berusia 19 tahun itu cedera pada lengan kiri dan kanan serta lutut kiri akibat terjatuh dalam pergelutan dengan suaminya pada jam 4 pagi Jumaat lalu, ketika lelaki berkenaan yang bekerja sebagai penghantar barang baru pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata semasa sedang berbincang urusan perbelanjaan rumah, mangsa cuba mengambil telefon bimbit suaminya namun tidak diizinkan sebelum berlaku pergaduhan dan pergelutan.
“Mangsa cuba mengambil telefon bimbit untuk memeriksa namun suaminya menghalang sebelum berlaku pergelutan dan menyebabkan mangsa lebam pada lengan kiri dan kanan serta lutut kiri akibat terjatuh.
“Pergelutan pasangan suami isteri yang berkahwin pada Oktober tahun lalu itu akhirnya dileraikan oleh ibu mangsa yang tinggal berhadapan rumah pengadu,” katanya kepada BH hari ini.
Mohamad Farouk berkata susulan laporan polis oleh mangsa, suaminya ditahan pada jam 9.30 malam tadi dan direman selama empat hari bermula hari ini.
“Polis ingin menegaskan bahawa mengikut Seksyen 18A Akta Keg4nasan Rumah Tangga, sebarang kesalahan berkaitan keganasan rumah tangga adalah satu kesalahan yang boleh ditangkap dan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan,” katanya.
Dalam satu kejadian lain, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya turut menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang mengugut untuk membunuh ibu kandungnya berusia 54 tahun dengan gunt1ng.
Kejadian pada Isnin lalu, sekitar jam 7 malam selepas suspek yang memiliki 14 rekod jenayah lampau berada di bawah pengaruh dadah.
Mohamad Farouk berkata suspek mengugut membunuh ibunya selain mendakwa wanita berkenaan bukan emaknya selain mengeluarkan kata-kata ugutan.
“Suspek direman selama empat hari sehingga 21 Ogos ini,” katanya. -Sumber Berita Harian