KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) menyeru Kerajaan agar mengisi jawatan Timbalan Ketua Polis di beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Sabah.
Menurutnya, terdapat IPD yang hanya mempunyai seorang Ketua Polis Daerah (KPD) namun tidak memiliki jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah.
“Menerusi tinjauan saya di beberapa daerah seperti Tuaran, Kota Belud, Kudat, Papar, Beluran, Kota Marudu dan Kinabatangan, kesemua IPD ini mempunyai seorang OCPD berpangkat Superintenden namun tidak mempunyai jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah.
“Ketiadaan Timbalan Ketua Polis Daerah di IPD ini mungkin memberikan bebanan lebih kepada Ketua Polis Daerah berkenaan khasnya dalam bidang pentadbiran kerana terpaksa menanggung sepenuhnya keseluruhan tugasan tanpa seorang timbalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Ucapan Perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 di Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, pada Rabu.
Madius turut meminta penjelasan sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai perancangan untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut dalam masa terdekat.
“Ini penting bagi memastikan pentadbiran Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dalam menjaga dan mengekalkan keselamatan serta ketenteraman awam termasuklah dalam hal-hal keselamatan siber lebih terjamin dan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien,” katanya.
Terdahulu Madius memaklumkan, usaha pindaan RUU tersebut adalah langkah tepat yang diambil kerajaan.
“Tuaran menyokong dan meminta kerajaan memberi keutamaan penyediaan bajet kepada PDRM dan agensi lain yang berkaitan khususnya dalam bidang keselamatan jenayah siber.
“Ini mungkin termasuk PDRM perlu mendapatkan kakitangan baru yang mempunyai kemahiran untuk mengendalikan perkara ini,” ujar Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu lagi.