32 C
Kota Kinabalu
Isnin, Disember 2, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

IPGM KAMPUS KENT, TUARAN ANJUR DUA PROGRAM BERASASKAN DIGITAL SERENTAK

Dr Hamidah (kelima kiri) bersama Dr Linah, Elizabeth, Hj Harun, Rosmahwati dan para peserta program WikiGap Tahun 2024


TUARAN: Jabatan Bahasa Kadazandusun (JBKD), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent telah melaksanakan dua aktiviti secara serentak berasaskan digital iaitu program WikiGap bersama kedutaan Sweden dan bengkel penggunaan kecerdasan (AI) dalam PdP di sini baru-baru ini.


Kedua-dua aktiviti yang diadakan pada 11 hingga 12 Mac 2024 (Isnin dan Selasa) itu telah berjaya dilaksanakan dengan melibatkan pensyarah dan pelajar di institusi ini.


Program WikiGap yang dikendalikan oleh Kelab Wiki Kent telah melibatkan 50 orang pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) dan Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PPISMP) yang terdiri daripada bidang pengajian Bahasa Kadazandusun (BKD), Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan juga Pendidikan Agama Islam (PAI).


Seramai 15 orang daripada 50 orang yang terlibat dalam program ini merupakan ahli baru Kelab Wiki Kent, manakala bagi Bengkel Kecerdasan Buatan (AI) dalam PdP pula telah melibatkan 35 orang pelajar PISMP Bahasa Kadazandusun dan beberapa pelajar PISMP daripada bidang pengajian lain.


Bengkel tersebut turut disertai oleh beberapa orang pensyarah daripada pelbagai jabatan.


Program WikiGap Bersama Kedutaan Sweden Malaysia yang bertemakan ‘Wanita dalam Pekerjaan’ bertujuan untuk memasukkan artikel mengenai tokoh-tokoh wanita di dunia dalam platform Wikipedia sebagai penghargaan kepada sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka di peringkat global iaitu termasuklah pekerjaan.


Ia sedikit sebanyak mampu membantu untuk mengetengahkan peranan wanita dalam pekerjaan, mendedahkan bahawa tiada jurang dalam pekerjaan dan juga meningkatkan motivasi diri sebagai seorang yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu organisasi.


Namun, perkara yang paling penting dalam penganjuran program ini juga adalah bagi memperluaskan penulisan artikel dalam Bahasa Kadazandusun dan membuka penyertaan sebagai langkah ahli Kelab Wiki memulakan gerakan Wikimedia di dalam Kampus.


Honorary Consul of Sweden, Kota kinabalu Elizabeth Filex, dalam ucapan perasmian penutupan program berkata, beliau sangat berbesar hati kerana berpeluang untuk datang ke sini untuk menjayakan program WikiGap itu.


“Lebih-lebih lagi apabila hari ini adalah kali pertama saya datang ke Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Tuaran. Saya percaya program ini yang bertemakan “Wanita dalam Pekerjaan” mampu menyedarkan kita khususnya kaum wanita bahawa kita juga merupakan aset penting dalam apa-apa perkara di peringkat global,” kata beliau.


Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Kent Tuaran, Dr Hamidah Binti Samsudin, menyatakan bahawa beliau sangat berbangga dengan penganjuran program seperti ini lebih-lebih lagi penglibatan yang menyeluruh dalam kalangan pelajar IPGM Kampus Kent.


“Saya doakan semoga penglibatan pelajar sepanjang program ini akan sentiasa mendapat manfaat, berkat, dan rahmatNya.


“Saya percaya, Program WikiGap Bersama Kedutaan Sweden yang dijalankan pada hari ini akan dapat membuka minda para pelajar berkaitan dengan peranan wanita dalam alam pekerjaan sesuai dengan temanya iaitu, ‘Wanita dalam Pekerjaan’ melalui penterjemahan dan penulisan artikel dalam platform Wikipedia,” katanya.


Beliau turut mengalu-alukan kerjasama dan kolaborasi pihak kedutaan Sweden dengan IPGM Kampus Kent dalam pelbagai bidang berkaitan yang akan datang.


Sementara itu, Bengkel Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam PdP dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada pensyarah dan guru pelajar IPGM Kampus Kent tentang penggunaan teknologi dalam PdP.

Dr Hamidah (ketiga kiri) bersama Dr Linah, para penceramah, Penyeralas Bengkel dan para peserta Bengkel AI Tahun 2024


Bengkel ini telah membantu pelajar dalam usaha meningkatkan kualiti tugasan dengan melakukan kurasi penyesuaian dan pengoptimuman sumber maklumat, membantu menjalankan proses PdP dalam suasana pembelajaran yang interaktif, imersif dan autentik serta meningkatkan kemahiran teknologi yang sesuai dengan keperluan dengan mengambil kira perkembangan teknologi.


Dalam ucapan perasmiannya, Dr Hamidah menyatakan rasa bangga beliau dengan penganjuran bengkel itu dan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Bahasa Kadazandusun kerana berjaya menganjurkan Bengkel Kecerdasan Buatan (AI) dalam pengajaran dan pembelajaran.


“AI memainkan peranan penting dalam mengubah landskap pendidikan kerana AI mencipta sistem pembelajaran yang adaptif, mampu menyesuaikan dengan kecepatan dan gaya belajar setiap individu pelajar.


“Ini memungkinkan Pendidikan yang lebih inklusif dan berkesan di mana setiap pelajar dapat mencapai potensi penuh mereka yang akhirnya dapat mendidik dan mempersiapkan generasi masa depan yang berpengetahuan, beretika dan berdaya saing tanpa melupakan amalan nilai-nilai murni semasa,” kata beliau.


Beliau turut mengalu-alukan kerjasama dan jaringan kolaborasi dengan Institut Aminuddin Baki, Cawangan Sabah dalam menjayakan program-program berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) pada masa akan datang.


Penceramah Bengkel Kecerdasan Buatan (AI) Robit Bin Yusie Fus Han memberitahu bahawa, bengkel itu bukan sahaja mampu memberikan peluang kepada para pelajar dan pensyarah berkaitan dengan penggunaan teknologi (AI).


“Ia juga mampu memberikan kefahaman tentang penggunaan (AI) secara berhemah, bertanggungjawab serta berintegriti berpandukan kepada ketetapan akademik dan memastikan penguasaan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk diintegrasikan dalam PdP.


“Diharapkan dengan adanya penganjuran Bengkel Kecerdasan (AI) ini ia akan dapat menyuntik semangat kepada semua pelajar untuk sentiasa memaksimumkan pengetahuan,” katanya.


Ketua Jabatan BKD Dr Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah menjelaskan bahawa penilaian terhadap kedua-dua aktiviti ini telah disediakan melalui Google Form untuk mendapatkan maklum balas daripada pelajar pelbagai bidang pengajian untuk mendapatkan maklum balas.


“Secara keseluruhannya, kedua-dua aktiviti ini telah mendapat sambuatan meriah dan respon yang positif kerana kebanyakan peserta berharap agar program dan bengkel seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.


“Kebanyakan peserta juga mencadangkan agar program dan bengkel seperti ini diteruskan dengan membuka banyak lagi penyertaan kepada pelajar lain agar semua pelajar memperolehi pengalaman baru,” jelas beliau.


Turut hadir dalam bengkel tersebut, Timbalan Pengarah IPGMK Kent Hj Harun Bin Hj Sarail, Penyelaras Kelab Wiki Kent Rosmahwati Binti Ebbie, Penceramah Darussalam Nehemia Bonel Pantulusang, Penyeralas Bengkel AI Dr.Wilfred Dousip, Victor Baga, John Gitom dan Dr Rosie Johnny.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN