CERIA….Supt. Mohd Hamizi (tiga dari kanan) bersama rakan media yang turut hadir pada majlis tersebut.
LABUAN: Tidak dinafikan musim musim perayaan sering kali menjadi titik tumpuan aktiviti sosial dan keagamaan, namun ia juga sering menjadi sasaran oleh individu yang berniat jahat untuk melakukan jenayah seperti kecurian, penipuan, dan jenayah lain.
Justeru itu PDRM khususnya IPD Labuan telah meningkatkan Operasi Pencegahan Jenayah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin setiap kali berlakunya sambutan perayaan.
“Antara tindakan yang diambil termasuklah meningkatkan pengawasan dan rondaan oleh anggota polis di kawasan-kawasan strategik seperti Bank, Kedai Emas juga kawasan yang menjadi tumpuan masyarakat serta seluruh kawasan di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan” demikian kata Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superitendan Mohd Hamizi Halim.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri IPD Labuan yang diadakan di perkarangan IPD Labuan, pada Sabtu.
Tambahnya, sepanjang tempoh Op Selamat musim perayaan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, pihaknya telah menjalankan sebanyak 584 rondaan yang dilaksanakan oleh Unit Kereta Peronda PDRM, Unit Rondaan Bermotosikal serta rondaan dan lawatan daripada empat Balai Polis yang ada.
MOHD HAMIZI meraikan staf dan anggota IPD Labuan yang hadir sama sama memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri IPD Labuan.
“ Dalam tempoh tersebut, tiada kes jenayah dilaporkan berlaku terhadap 24 buah rumah yang ditinggalkan dan telah dimaklumkan kepada pihak polis untuk tujuan rondan keselamatan” katanya.
Bagaimanapun katanya, bagi kes jenayah indeks sepanjang tempoh 1Syawal hingga 15 Syawal berlaku peningkatan kes iaitu sebanyak 6 kes berbanding tahun lalu hanya 3 kes.
“Antara kes indeks yang dilaporkan berlaku iaitu kes pecah rumah, dan curi dalam bangunan”, katanya.
Beliau turut merayu kepada semua masyarakat agar terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan supaya perkhidmatan IPD Labuan terus relevan dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Bagi memastikan PDRM dapat terus berfungsi dengan baik, adalah penting bagi masyarakat untuk terlibat secara aktif dengan memberikan maklum balas, kerjasama, dan sokongan kepada pasukan polis” katanya.
Pada majlis sebanyak 15 gerai makanan yang mewakili setiap bahagian termasuk balai telah menyediakan pelbagai aneka juadah.
Hadir sama pada majlis itu, mantan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Ketua Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan serta para pemimpin masyarakat yang terdiri daripada Ketua Ketua Kampung dan pemimpin Majlis Perwakilan Penduduk (MPP)