26 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

INOVASI SOSIAL UMS-KOMUNITI MERAIH PINGAT EMAS DI PECIPTA 2022

INOVASI sosial yang diusahakan bersama Universiti Malaysia Sabah dan komuniti perintis serunding kubis sekali lagi meraih pingat emas dalam pertandingan inovasi International Conference and Exposition on Inventions by Institutions of Higher Learning (PECIPTA) 2022 yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 1 hingga 3 November 2022. Ketua penyelidik Dr. Jurry Foo ketika dihubungi menyatakan bahawa ini adalah pertandingan yang berprestij dalam kalangan akademia dengan penyertaan 433 produk inovasi. UMS juga turut merangkul 6 emas, 4 perak dan 3 gangsa.

Sebelum ini serunding kubis yang turut dicalonkan sebagai inovasi terbaik kluster air dan makanan memenangi pingat emas inovasi produk dalam pelbagai pertandingan, namun di PECIPTA 22, kejayaan serunding kubis adalah menjurus kepada sumbangannya kepada kejayaan peningkatan keupayaan komuniti melestarikan produk dan menjana pendapatan seiring dengan agenda Sustainable Development Goal (SDG). Kriteria yang dinilai dalam inovasi kali ini adalah aspek inovasi, kreativiti, teknologi, keusahawanan dan masyarakat.

Sepanjang jalinan Kerjasama UMS-komuniti melalui geran penyelidikan yang disediakan UMS (SGI0111-2020), sekurang-kurangnya enam jenama komuniti pengusaha serunding kubis telah dihasilkan iaitu RH Serunding Kubis, Serunding Kobis Sabah, Serunding Kobis Dapur Ida, Serunding Kubis Kundasang, Serunding Kubis Umi Irsa dan Serunding Kubis Ice Cool. Sokongan daripada pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pertanian Negeri Sabah, FAMA, Persatuan Pelancongan Ranau (RATA), DIDR dan RISDA misalnya telah melonjakkan lagi keupayaan kelestarian produk ini. Sebahagian pengusaha telah mendapat bantuan kemahiran dan peralatan daripada hubungan bijak ini. Pencapaian ini menunjukkan bahawa usahasama UMS-komuniti; komuniti-pemegangtaruh sangat relevan dalam pembangunan komuniti. Selain daripada itu, kesediaan komuniti (willingness) dalam memajukan diri adalah kekuatan kelestarian produk makanan berasaskan kubis ini.

Serunding Kubis akan dipertandingkan dalam pertandingan peringkat antarabangsa pada tahun hadapan, oleh itu usahasama UMS-Komuniti akan diteruskan dalam peningkatan kualiti produk dan keupayaan pengusaha. Jurry turut menyatakan sasaran seterusnya adalah menjadikan serunding Kubis sebagai produk pelancongan dan akan melibatkan lebih ramai ahli komuniti menceburi penghasilan serunding kubis. Oleh itu beliau mengalukan pihak pelabur dan organisasi yang ingin menyumbangkan geran penyelidikan untuk mencapai hasrat murni ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN