27 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Inovasi Sosial Melalui Bengkel Mengoptimumkan Kearifan Tempatan Menentang Penularan Covid19

Gambar Atas – Dr.Jurry Foo

Oleh: DR. JURRY FOO

Pensyarah Kanan (Geografi) (Pengkhususan- Alam sekitar dan Pembangunan-Biogeografi Sosial)
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

Timbalan Pengarah Akademik, Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) Universiti Malaysia Sabah. [Emel: jurryfm@ums.edu.my]
MyJICA Alumni (Sabah).

BENGKEL atas talian berkaitan mengoptimumkan kearifan tempatan menentang penularan COVID19 merupakan satu inovasi sosial masyarakat. Tinjauan ke atas peserta atas talian melaui FBLive Jurry Foo menunjukkan respon penglibatan dalam menghasilkan makanan terawet sayur masin atau Hamchoi, serunding sayur khususnya serunding kubis dan sambal tomato adalah positif ke arah inovasi sosial.

Pemprosesan pelbagai jenis sayuran telah mula dilaksanakan oleh bukan sahaja peserta yag berada di Sabah tetapi yang berada di semenanjung Malaysia. Malah telah wujud peluang perniagaan dalam kalangan masyarakat dalam urusan jual beli serunding kubis yang dianggap baharu dan tidak pernah diketahui. Ini menunjukkan ada ciri inovasi sosial yang mula terbentuk dalam kalangan komuniti dan ini baik ke arah ketahanan (resiliense) masyarakat.

APAKAH INOVASI SOSIAL?

Inovasi yang biasa kita faham ialah inovasi yang menghasilkan produk atau barang yang boleh dilihat dengan mata kasar. Inovasi sosial melalui bengkel mengoptimumkan kearifan tempatan sebenarnya bukan berbentuk produk tetapi pembentukan satu rangkaian pemikiran melibatkan aktor dan struktur yang akhirnya membantu dalam pembangunan masyarakat itu sendiri. Produk inovasi yang dihasilkan melalui bengkel ini ialah Model pembangunan ketahanan (Resilience) komuniti melalui pemantapan kearifan tempatan.

Sebenarnya inovasi akademik boleh dikategorikan kepada inovasi ilmu, inovasi teknologi, dan inovasi sosial (Ibrahim, 2015). Inovasi Sosial menekankan kepada aspek sumber, kos operasi, peningkatkan produktiviti yang akhirnya memberi impak kepada masyarakat dari segi peningkatan kepada kualiti kehidupan manusia (Marwan et al., 2017). Ibrahim (2015) menyatakan bahawa inovasi sosial ialah apabila kepakaran dan dapatan penyelidikan ahli akademik mampu dipindahkan atau digunakan oleh komuniti untuk meningkatkan kesejahteraan dan sosio-ekonomi mereka, di mana ia boleh bersifat formal atau informal contohnya program pembelajaran sepanjang hayat bagi tujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat; boleh juga bersifat idea bernas berbentuk pelaksanaan program atau rancangan seperti seperti gerakan kooperasi, tabung haji atau geopark dengan mengambil contoh geopark Langkawi.

PRODUK INOVASI SOSIAL: MODEL KETAHANAN (RESILIENCE) KOMUNITI MELALUI PEMANTAPAN KEARIFAN TEMPATAN

Sedar atau tidak, bengkel atas talian berkaitan mengoptimumkan kearifan tempatan menentang penularan COVID9 yang dilaksanakan sejak 14 April 2020 telah membentuk Model ketahanan (Resilience) komuniti melalui pemantapan kearifan tempatan. InI kerana ia telah menunjukkan beberapa reaksi positif, antaranya :

i.Penggunaan kearifan tempatan sebagai asas menguruskan sumber sayuran dalam tempoh PKP.
ii.Cetusan kreativiti komuniti dalam mempelbagaikan produk daripada kearifan tempatan.
iii.Pewujudan perniagaan dalam kalangan komuniti.
iv.Pembudayaan kearifah tempatan secara berterusan..

Penggunaan kearifan tempatan sebagai asas menguruskan sumber sayuran dalam tempoh PKP.

Pemerhatian daripada reaksi peserta bengkel menunjukkan bahawa mereka telah mendapat idea untuk mengendalikan sayuran berlebihan di rumah mereka dengan menggunakan pengetahuan yang sedia. Ini penting dalam memastikan mereka mempunyai bekalan sayuran berterusan dan tidak takut untuk membeli lebih banyak sayur. Mengawet sayuran yang dibeli dan menukarkannya dalam bentuk lain yang lebih tahan lama dapat mengurangkan risiko pembaziran sayuran yang dibeli di samping mengurangkan pergerakan mendapatkan bahan mentah.

Antara produk Serunding, Sambal dan Sayur Masin yang dihasilkan daripada sayuran tanah tinggi menerusi Kreativiti Komuniti Tempatan.

Cetusan kreativiti komuniti dalam mempelbagaikan produk daripada kearifan tempatan.

Berdasarkan maklum balas seorang pegawai pertanian di Ranau, sebenarnya serunding kubis pernah dipertandingkan dalam satu pertandingan sempena pesta kubis 2016 di Kundasang oleh Puan Jamelah Binti Lawa yang merupakan pengusaha hasil tani di bawah bimbingan Jabatan Pertanian. Namun serunding Kubis tidak popular dan terhenti setakat itu. Ini dapat dilihat apabila reaksi peserta bengkel dan netizen yang menyertai bengkel ini yang kesemuanya tidak pernah mengetahui tentang serunding kubis. Kearifan tempatan yang diletengahkan  Puan Jamelah boleh dioptimumkan dalam membantu komuniti lain menguruskan sayuran mereka teutama dalam temoh PKP ini dan inilah semangat yang ingin matlamat Model ketahanan (Resilience) komuniti melalui pemantapan kearifan tempatan ini.

Sambutan menghasilkan serunding kubis oleh peserta bengkel sama ada untuk kegunaan sendiri atau sebagai produk jualan secara berulang menunjukkan sebenarnya produk dari kearifan tempatan berasaskan sayuran sememangnya mempunyai potensi untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Senario yang menarik dalam hal cetusan kreativiti dengan mengoptimumkan kearifan tempatan menghasilkan serunding kubis dan sayur masin ini ialah motivasi peserta mempelbagaikan bahan untuk diproses, misalnya serunding Kubis digabungkan dengan lada putih, bunga kantan dan kekacang yang sesuai sebagai snek. Manakala dalam penghasilan sayur awet masin atau Hamchoi pula, selain sawi pahit peserta telah cuba mengasinkan sayur Kubis dan sayur sawi hijau dan kubis panjang dengan menggunakan asas teknik daripada kearifan tempatan pembuatan sayur masin. Peserta bengkel sehingga kini masih berkongsi di laman sosial hos bengkel penghasilan sambal tomato yang diperkayakan dengan pelbagai bahan yang ada di sekitar mereka mahupun yang sedia ada dalam simpanan mereka.

Pewujudan perniagaan dalam kalangan komuniti

Bengkel mengoptimumkan kearifan tempatan bukan sahaja sedikit sebanyak menggalakkan pengurusan sumber secara bijak, terutama dalam tempoh PKP ini. Namun ia telah membuka peluang perniagaan kepada ahli komuniti. Puan Rojaliah Hanti dan Puan Rozaidah misalnya dari Kg. Libang Ranau merupakan peserta awal bengkel mengoptimumkan kearifan tempatan atas talian ini. Mereka telah menerima tempahan serunding kubis yang diperkayakan resipinya daripada kalangan penduduk setempat dan luar daerah sejak beliau mencuba penghasilan produk tersebut. Bagi memastikan jaminan kualiti produk tempatan ini serta peningkatan mutu, pihak UMS sedang cuba membantu pengusaha melalui kepakarn teknologi makanan jika produk tersebut serius untuk diketengahkan dalam pasaran lebih luas.

Pembudayaan kearifah tempatan secara berterusan

Pembudayaan ialah apabila kita menjadikan sesuatu tindakan itu sebagai amalan berterusan. Semenjak bengkel ini dilaksanakan, pembudayaan mengoptimumkan kearifan tempatan dalam menguruskan sumber sayuran semakin terlihat. Ini dapat dilihat apabila peserta terus berkongsi hasil sayuran diproses dan mendapat respon daripada sahabat atas talian meraka yang lain sama ada akan mencuba mahupun telah mencubanya.

MENGAPA MENGGUNAKAN KEARIFAN TEMPATAN BUKAN TEKNIK BAHARU

Kearifan tempatan adalah budaya dan kebiasaan yang sudah ada dalam masyarakat. Dalam tempoh yang getir ini, kenapa tidak dimantapkan sahaja kearifan tempatan tersebut untuk manfaat bersama. Manfaat bersama bermaksud kebaikan sama ada dalam memastikan sumber diurus dengan bijak, menjamin bekalan makanan berterusan, mahupun menjadi peluang ekonomi.

Natijahnya, mengoptimumkan kearifan tempatan adalah sesuatu yang logik untuk diaplikasikan dalam tempoh PKP yang sangat mendebarkan ini. Ahli komuniti tidak boleh didesak dengan pengetahuan dan kemahiran baharu yang jauh dari kebiasaan mereka. Apa yang penting ialah memantapkan pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada demi kesejahteraan menyeluruh. Selagi PKP ini berterusan, bengkel atas talian dalam meneruskan galakan megoptimumkan kearifan tempatan akan dilaksanakan. TAMAT

Rujukan

Ibrahim Komoo. (2015). Meraikan Inovasi Sosial. https://ibrahimkomoo.com/2015/07/27/meraikan-inovasi-sosial/Nurhazliyana Hanafi, Jalaluddin Abdul Malek, Hamzah Jusoh. (2019). Konsep Keupayaan Penyerapan Akademia dan Inovasi Sosial dalam Konteks Pembangunan Bandar Berasaskan Pengetahuan. GEOGRAFIA . Journal of Society and Space 14 issue 2 (68-81).


Marwan Bin Ismail, Kevin Fernandez, Nik Yusri Musa Dan Noorhisyam Md. Nawi. Inovasi Sosial Dalam Program Pembangunan Komuniti NGO-Berkebajikan Melayu Islam Di Malaysia. (2017) Prosiding Persidangan Antarabangsa Kelestarian Insan 2017 (INSAN2017) Ayer Keroh, Malacca, Malaysia, 1– 2 November
























ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN