PENSIANGAN: Program Outreach YAB Ketua Menteri Bersama NGO di Bawah SYABAS memberi peluang kepada peniaga muda di pedalaman, kata Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng.
Katanya, melalui program itu, para peniaga muda di luar bandar yang tidak memiliki lesen perniagaan dan akaun bank dapat menerima bantuan daripada kerajaan Negeri.
“Kita memahami, untuk melayakkan seseorang memperolehi bantuan kerajaan, seseorang itu perlu memenuhi syarat tertentu termasuk memiliki dokumen berkaitan.
“Program ini menyasarkan para peniaga muda yang tidak memiliki dokumen rasmi perniagaan untuk mendapatkan bantuan kerajaan sama ada mengembangkan perniagaan atau memulakannya.
“Justeru, kita amat berterima kasih kepada YAB Ketua Menteri YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor atas keprihatinan beliau membawa program ini ke DUN Tulid.
“Ia berjaya memanfaatkan seramai 100 penerima dalam kalangan peniaga muda di DUN Tulid atas inisiatif Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah,” kata beliau.
Tambah beliau, pelaksanaan pelbagai program yang telah, sedang dan akan digerakkan membuktikan betapa Kerajaan Negeri Sabah amat menitik beratkan anak muda di Negeri ini.
Flovia yang juga ADUN Tulid berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach YAB Ketua Menteri Bersama NGO di Bawah SYABAS @Tulid yang diadakan dekat sini pada hari Sabtu.
Beliau merakamkan penghargaan dan mengucapkan syabas serta tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas kejayaan melaksanakan program hari ini.
“Program ini adalah satu platform yang bermanfaat untuk semua ‘stakeholder’ atau pihak berkepentingan dan adalah harapan saya agar semua yang hadir hari ini akan pulang dengan diperkasakan dengan pengetahuan dan kesedaran hasil dari interaksi hari ini.
“Kerajaan Negeri Sabah amat komited menyantuni golongan muda Negeri ini baik dalam bidang pendidikan, pembangunan modal insan, sukan dan tidak terkecuali para peniaga dan usahawan muda.
“Melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kerajaan telah meletakkan kepentingan anak muda di kedudukan terbaik yang menjadi antara teras penting dalam hala tuju kerajaan negeri Sabah.
“Banyak inisiatif khusus kepada anak muda diperkenalkan baik dalam bidang pendidikan, sukan, rekreasi, keusahawanan dan lain-lain,” kata beliau.
Dalam sektor pendidikan, tambah beliau, beberapa inisiatif baharu dilaksanakan kerajaan. Antaranya ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI).
Menurutnya, para pelajar dalam kalangan keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian kali pertama ke peringkat ijazah sarjana muda, diploma, asasi dan matrikulasi akan diberi bantuan one-off berjumlah RM2,000 (sarjana muda) dan RM1,500 (diploma, asasi dan matrikulasi).
Ini, katanya, dilaksanakan untuk memastikan para pelajar terlibat dapat membiayai sebahagian daripada yuran pengajian masing-masing atau membeli keperluan berkaitan.
Selain itu, katanya, bantuan kepada pelajar sekolah juga diperkenalkan melalui Bantuan Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang memanfaatkan para pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang menerima RM200 untuk keperluan peperiksaan.
“Untuk inisiatif ini, puluhan ribu anak Sabah menerima bantuan BAKTI setiap tahun sejak diperkenalkan pada tahun 2021,” kata beliau.
Flovia memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Bantuan Aktiviti PIBG Sekolah (BAGUS) yang mana melalui program ini semua PIBG sekolah di Sabah akan memperolehi RM2,000 untuk melaksanakan aktiviti di sekolah.
“Baru-baru ini kerajaan negeri umumkan pelaksanaan bantuan RM3,000 kepada semua sekolah yang terdapat di negeri Sabah secara one-off.
“Selain itu, pihak sekolah juga boleh memohon peruntukan baik pulih berjumlah RM50,000 ke bawah daripada kerajaan negeri melalui Bantuan Penyelengaraan Kecil-Kecilan Sekolah (BALKIS),” katanya.
Bagi membantu anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian ke IPT pula, Flovia memberitahu bahawa kerajaan telah menambah dana biasiswa sebanyak RM127 juta pada tahun 2025.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri turut menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi menyokong pemberian dana sedia ada khususnya anak-anak yang kurang berkemampuan ke universiti.
“Baru-baru ini, kerajaan negeri telah mengumumkan pemberian subsidi penerbangan kepada para pelajar Sabah yang belajar di Semenanjung, Sarawak dan Labuan melalui inisiatif GRS-SubFly dengan jumlah bantuan sebanyak RM600 seorang.
“Puluhan ribu pelajar akan menerima manfaat daripada program ini. Tidak cukup dengan itu, kerajaan negeri turut memberi bantuan subsidi pengangkutan kepada pelajar Sabah yang menuntut dalam negeri dengan pemberian RM300 seorang pada tahun 2025.
“Ada banyak lagi program pendidikan yang dilaksanakan kerajaan Sabah seperti AKSA, BAIK, BISBAH dan lain-lain yang mana kesemua ini merupakan bantuan kepada pihak sekolah dan para pelajar secara langsung,” katanya.
Flovia mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada mereka yang merayakannya dan Selamat Menyambut Tahun Baru 2025 kepada semua.
Turut hadir ialah Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Azrul Bin Ibrahim, para pemimpin tempatan, masyarakat setempat dan lain-lain.