Jonathan (dua dari kanan) menyoal beberapa PATI yang ditahan dalam Op Patuh Bersepadu di Ranau. Ihsan Imigresen
RANAU: Seramai 65 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Patuh Bersepadu yang dijalankan di 10 lokasi sekitar daerah ini, tengah malam tadi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, operasi dijalankan berdasarkan aduan awam yang diterima bahagian penguatkuasaan Imigresen Ranau.
Katanya, antara lokasi serbuan adalah rumah kongsi tapak pembinaan Mesilou Golf Course, Jalan Desa Cattle, Kampung Mesilou dan Loji Tapak Pembinaan Tangki Air serta sekitar Pekan Kundasang.

“Serbuan turut dijalankan di sekitar Kuarters Pekerja MRSM, Tanah Merah, Jalan Kompleks Ranau, Kampung Babukan dan Jalan Pinousuk.
“Dalam operasi ini, seramai 173 orang diperiksa dan daripada jumlah itu 65 individu ditahan membabitkan 28 lelaki dan 15 wanita dewasa serta 22 kanak-kanak,” katanya ketika ditemui media selepas operasi berkenaan, hari ini.
Operasi bermula jam 12 tengah malam itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membabitkan 98 anggota dan pegawai.
Jonathan berkata, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas sah serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas.
Katanya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 iaitu menggunakan dan memiliki pas, dokumen perjalanan atau perakuan palsu.

“Objektif utama operasi ini bagi membanteras kehadiran PATI dan orang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen dan Akta Anti Perdagangan dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
“Tumpuan operasi ini juga turut menjurus kepada majikan disyaki mengambil, melindungi dan mengesan sindiket membawa masuk PATI ke negara ini,” katanya.
Sementara itu, Jonathan berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak 601 operasi dijalankan Imigresen Sabah dan seramai 1,061 PATI ditahan.
Katanya, dalam tempoh sama, seramai 34 majikan didakwa manakala 1,739 warga asing diusir pulang ke negara asal. –Berita Harian