MoU…Rospiagos (kiri) bertukar dokumen dengan Freddy sambil disaksikan oleh Imalistyahusnanjaya (kiri sekali).
LABUAN: Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Torcomp Engineering Services Sdn.Bhd. serta Memorandum Kerjasama (MoC) antara ILP Labuan dengan Serba Mahir Sdn. Bhd. pada Majlis Menandatangani Dokumen Kerjasama Strategik ILP Labuan 2024 di Dewan Kuliah Utama ILP, di sini, pada Rabu.
Pada majlis itu ILP juga telah menandatangani sembilan Surat Niat (Lol) melibatkan lapan syarikat industri.
Lapan syarikat terpilih pada MoC itu ialah Labuan Shipyard Engineering Sdn Bhd (LSE), Port Marine Sdn Bhd, Soon Aircond & Refrigeration Services, Bumitech Global Energy Sdn Bhd, EG Soft Tech Solution Sdn Bhd, Lian Huat Aircond Service, Picotec Sdn Bhd dan Welfield Services Sdn Bhd.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Datuk Rospiagos Taha.
Hadir sama, Pengarah ILP Labuan, Imalistyahusnanjaya Mat Hussien, Pengarah Eksekutif Turcomp Engineering Services Sdn Bhd, Freddy Labadin, Ketua Pengurusan Sumber Manusia dan Pentadbiran Serba Mahir Sdn Bhd, Dayangku Siti Norain Pengeran Ali Rahman.
![](https://www.borneodailybulletin.com/wp-content/uploads/2024/10/IMG-20241017-WA0005-1.jpg)
ROSPIAGOS (tengah) bersama wakil 9 syarikat industri yang menandatangani Surat Niat (Lol) pada majlis itu.
Terdahulu Rospiagos dalam ucapan perasmiannya berkata majlis MoU dan MoC itu merupakan salah satu jalinan kerjasama strategik dengan syarikat industri terutamanya dalam sektor Minyak dan Gas.
“Kerjasama Strategik ini bukan sahaja membuka peluang kerjaya bagi pelajar lepasan Institut tetapi juga meningkatkan penghasilan tenaga kerja mahir dan perkongsian teknologi khususnya dalam industri Minyak dan gas” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu telah menghasilkan peningkatan kepada kadar kebolehpasaran lepasan Institut ILP Labuan meningkat kepada 92.4 peratus tahun ini berbanding 83.1 peratus pada tahun 2022.
“Program teknologi elektrik telah menyaksikan kadar kebolehpasaran tertinggi pada 95 peratus diikuti teknologi penyelengaraan mekanikal dan teknologi kimpalan masing masing 93 peratus serta penyejukan dan penyampaian udara pada 91 peratus “ katanya.
Dalam pada itu, Rospiagos yakin ILP Labuan mampu mengekalkan sebagai sumber tenaga mahir yang penting untuk sektor perindustrian negara terutamanya dalam industri Minyak dan Gas.