28.8 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mei 20, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

IDS PERKUKUH KEPRIHATINAN SOSIAL

Ketua Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr.Ramzah Dambul (tiga dari kiri)  menyerahkan sumbangan kepada Pegawai Penguasa, Tuan Jahidi bin Sahibin (tiga dari kanan).

KOTA KINABALU : Dalam semangat kebajikan dan keprihatinan sepanjang bulan Ramadhan, Institut Kajian Pembangunan (Sabah), (IDS) telah menganjurkan program khidmat komuniti di Rumah Warga tua Sri Pritchard Kinarut kelmarin

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) IDS yang bertujuan memperkukuh nilai murni serta menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan kakitangannya.

Sebagai sebuah institusi penyelidikan yang bukan hanya menumpukan kepada pembangunan dasar tetapi juga kesejahteraan sosial, IDS memainkan peranan penting sebagai grassroot champion.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan keprihatinan terhadap kebajikan warga emas, memperkasakan nilai kerja berpasukan dalam kalangan kakitangan IDS, serta memberi sokongan moral dan bantuan kepada komuniti yang memerlukan. Pelaksanaan program ini juga selaras dengan nilai kemanusiaan yang ditekankan sepanjang bulan Ramadhan, di mana masyarakat digalakkan untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, pasukan IDS disambut mesra oleh pihak rumah kebajikan sebaik tiba di Rumah Warga tua Sri Pritchard Kinarut.

Para sukarelawan kemudiannya dibahagikan kepada beberapa pasukan untuk melaksanakan aktiviti khidmat komuniti. Pasukan pertama menjalankan aktiviti gotong-royong bagi memastikan kebersihan dan keselesaan kawasan sekitar serta bahagian dalam bangunan.

Pasukan kedua menyediakan perkhidmatan penjagaan diri seperti menggunting rambut bagi penghuni di sana, manakala pasukan ketiga menganjurkan pelbagai aktiviti interaktif bagi menceriakan suasana serta mengeratkan hubungan dengan warga emas, sekali gus membawa kegembiraan kepada mereka.

Sebagai tanda keprihatinan, IDS turut menyampaikan sumbangan berupa barangan penjagaan diri dan makanan kepada penghuni sebelum mengakhiri lawatan pada hari tersebut.

Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, menyatakan bahawa program ini bukan sekadar inisiatif kebajikan, tetapi juga satu usaha untuk mengeratkan hubungan antara IDS dan masyarakat.

“Kami percaya bahawa pembangunan holistik bukan hanya tertumpu kepada dasar dan ekonomi, tetapi juga kepada kesejahteraan sosial. IDS komited untuk terus memainkan peranan dalam memperkukuh jaringan komuniti serta menanam nilai-nilai keprihatinan dalam kalangan kakitangan kami.

“Bulan Ramadhan adalah masa yang sesuai untuk kita menghulurkan bantuan dan menyemai kasih sayang kepada mereka yang memerlukan, khususnya warga emas yang sering terpinggir,” katanya.

Program ini turut mendapat sokongan daripada pihak berkepentingan dalam sektor kebajikan. Turut hadir dalam program ini ialah Pegawai Penguasa, Tuan Jahidi bin Sahibin, Timbalan Pengetua Sekolah Tunas Bakti Kota Kinabalu, Encik Hajan bin Salam, serta Pasukan Sukarelawan IDS yang turut serta dalam aktiviti kesukarelawanan.

Kehadiran mereka mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama antara institusi penyelidikan, badan kebajikan, dan masyarakat bagi mewujudkan ekosistem sosial yang lebih inklusif.

Melalui inisiatif ini, IDS berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak organisasi untuk turut serta dalam aktiviti kebajikan serta menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam masyarakat, sekali gus memperkukuh budaya keprihatinan sosial di Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN