BERSYUKUR….. Ramlah (kiri sekali) bersama Bashir (tiga kanan) dan beberapa jawatankuasa UMNO Bahagian ketika meninjau keadaan rumah selepas dibaik pulih.
LABUAN: Seorang ibu tunggal Ramlah Mitah Antawor tidak menyangka kunjungan Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Bashir Alias ketika meninjau keadaan rumahnya yang mengalami kerosakan atap akibat diterbangkan angin kencang telah membawa sinar harapan buat beliau, anak dan cucunya.
Mana tidaknya, keadaan atap rumah yang rosak hampir seminggu terbiar kerana tidak mampu dibaiki oleh ibu tunggal itu telah menyentuh perasaan Datuk Bashir dan UMNO Bahagian untuk membantu membaik pulih rumah berkenaan sekali gus memberikan kehidupan yang lebih selesa buat ibu tunggal yang kehilangan suami hampir 10 tahun yang lalu.
Ramlah 62, berkata, Datuk Bashir bersama rombongan yang meninjau keadaan rumahnya yang rosak itu telah menyatakan kesediaan untuk untuk membaiki rumahnya secepat mungkin dan beliau tidak menyangka janji yang di ucapkan oleh pemimpin UMNO itu bukan janji semata-mata tetapi telah mampu disiapkan dalam tempoh tiga hari.
“Saya bersyukur dan ucapkan terima kasih kepada UMNO Bahagian Labuan yang berusaha membaik pulih atap rumah kami yang rosak….saya bersyukur kerana masih ada pihak yang sudi membantu untuk keselesaan kami sekeluarga” katanya.
Dia yang tinggal bersama dua orang anaknya dan tiga cucu mengakui tidak mampu untuk membaik pulih atap rumah yang rosak itu kerana beliau dan anaknya tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.
Ini kerana katanya, kos untuk membaik pulih atap bukan sekadar ratusan ringgit tetapi memerlukan ribuan ringgit.
Sementara itu, Bashir ketika dihubungi berkata, usaha untuk membantu membaik pulih rumah ibu tunggal itu selepas dimaklumkan oleh Ketua Cawangan UMNO Hijau Baiduri, Jamil Md Yassin mengenai keadaan atap rumah Ramlah yang terbiar selepas seminggu dibadai angin kencang.
“Melihat keadaan atap rumah yang agak menyedihkan itu, saya bersama ahli ahli UMNO yang lain telah sepakat untuk mengumpul sedikit dana bagi membantu membaik pulih atap rumah mangsa.
“Alhamdulillah kita telah berjaya mengumpul dana dan dengan bantuan kontraktor yang turut prihatin dengan keadaan nasib ibu tunggal itu telah berjaya membaik pulih atap rumah berkenaan dalam tempoh tiga hari” katanya.
Bashir juga turut berterima kasih kepada ahli ahli UMNO yang sama-sama membantu bukan sahaja dalam membaik pulih rumah mangsa tetapi juga membantu mensejahterakan rakyat yang memerlukan bantuan.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kontraktor yang berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh keluarga ibu tunggal itu.