Dari Kiri) Muhasip dan Jasmie ketika menyampaikan ucapan.
RANAU: Ibu bapa disaran agar sentiasa meningkatkan penglibatan dalam apa juga program yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
Berucap perasmikan Program Hari Keluarga Peringkat Sekolah Kebangsaan Naradan di Dewan Terbuka sekolah tersebut baru-baru ini, Ketua Daerah OKK Muhasip Haji Ruman berkata penglibatan ibu bapa sama ada dalam aktiviti akademik mahupun kokurikulum bukan sahaja membantu menyokong sekolah dan para guru tetapi pemangkin semangat dan motivasi kepada anak-anak dalam pembelajaran.
“Kita tahu bahawa penganjuran sesuatu program itu bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan tanpa permuafakatan yang baik di kalangan PIBG dan sekolah. Tahniah, kerana berjaya menganjurkan Program Hari Keluarga pada hari ini yang pada saya jelas membuktikan bahawa keakraban hubungan dan kerjasama kedua belah pihak di sekolah ini begitu baik sekali,” jelas Muhasip.
Menurutnya, penganjuran Program Hari Keluarga SK. Naradan berkonsepkan Hari Keluarga Malaysia adalah satu usaha mewujudkan masyarakat penyayang dan harmoni.
“Kita mengharapkan program seumpama ini akan memberikan impak positif kepada warga SK. Naradan ke arah pengukuhan dan memantapkan semangat kerjasama khususnya di sekolah serta mampu mencetuskan perasaan kasih sayang dan semangat kekeluargaan yang lebih tinggi,” katanya.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan semua kita supaya sentiasa meluangkan masa bersama keluarga. Libatkan diri kita dalam aktiviti bersama anak-anak seperti beriadah pada waktu petang, hujung minggu dan cuti sekolah. Dengan cara ini hubungan kasih sayang dalam keluarga akan bertambah erat di samping membantu meningkatkan prestasi kerja,” katanya.

Sebahagian yang hadir pada majls tersebut
“Saya dimaklumkan pasukan bola tampar kategori perempuan sekolah ini berjaya menjuarai Kejohanan Bola Tampar Peringkat Zon Garas tahun ini. Tiga daripada mereka berjaya mewakili zon ke peringkat daerah dan salah seorang dari mereka adik Ellie Ezrana Daini bukan sahaja berjaya mewakili daerah ke peringkat negeri dalam acara bola tampar malah dalam acara badminton. Sesungguhnya pencapaian yang cemerlang ini jelas membuktikan wujud komitmen yang tinggi di kalangan ibu bapa terhadap kemenjadian anak-anak di sekolah ini, syabas. ” katanya lagi.
Dalam majlis itu Muhasip turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM500 kepada Pengerusi PIBG SK. Naradan, Daini Ambag untuk tabung persatuan. Sumbangan tersebut diberikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.
Terdahulu, Guru Besar SK. Naradan, Jasmie Judin dalam ucapan aluannya berkata Hari Keluarga SK. Naradan merangkumi Program Hari Raya, Pesta Kaamatan, Hari Guru dan Hari Malaysia. Antara matlamatnya ialah membina hubungan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat, menyemarakkan semangat cinta akan negara manakala objektif ialah meningkatkan peranan dan kerjasama Ibubapa terhadap pihak sekolah untuk mencapai kemenjadian murid dalam bidang kurikulum, keperibadian dan kokurikulum selaras dengan Slogan Sekolah’PISOMPURUAI TOKOU, SENADA MENGEJAR KECEMERLANGAN’.