27.3 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 27, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Ibu bapa adalah guru pertama anak-anak: James

JENDDY (tengah) bersama salah seorang pelajar cemerlang yang menerima anugerah pada majlis itu

KOTA KINABALU: Usaha mencapai kecemerlangan pelajaran sebenarnya bermula dari rumah di mana ibu bapa merupakan guru pertama kepada anak-anak, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib.

Lantaran itu, katanya, ibu bapa bertanggungjawab menanam nilai-nilai murni dalam diri anak-anak sejak mereka usia rebung persis peribahasa Melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Hal ini penting, ujarnya, bagi membolehkan anak-anak mencapai kecemerlangan pada masa depan dan seterusnya dapat memberi manfaat kepada agama, bangsa, dan negara.

“Sesungguhnya, usaha menjadikan para murid sebagai peneroka ilmu dan menjadi seseorang yang berjaya adalah amat penting bagi merealisasikan konsep Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim,” katanya.

Tambah beliau, pihak kerajaan negeri sentiasa membantu memperkasakan prestasi pendidikan di Sabah dengan menyediakan bantuan dan inisiatif pendidikan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan beberapa bantuan lain kepada murid yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Bagi merealisasikan hasrat untuk melahirkan generasi pewaris yang cemerlang dalam aspek akademik, kokurikulum dan sahsiah, semua pihak semestinya berganding bahu kerana hasil gabungan sinergi mantap yang terjalin, satu jaringan kecemerlangan akademik yang tinggi mampu digapai.

“Kita perlu menjadikan hubungan antara warga sekolah dan ibu bapa sebagai hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan, dan sentiasa menyokong antara satu sama lain bagai aur dengan tebing, andai kata dipisah lagu dan irama, longlai tiada berjiwa.

“Semoga hubungan erat antara pihak sekolah dengan ibu bapa dapat merealisasikan hasrat sekolah ini untuk menjadi sebuah institusi yang cemerlang dan mampu membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berperibadi mulia, berpengetahuan, dan berkemahiran tinggi serta berdaya saing,” katanya.

James yang diwakili Setiausaha Politik beliau, Undi @Jenddy Bin N.C Sanggau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan semasa Perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan 2024 SMK Sanzac, Kota Kinabalu pada hari Sabtu.

SIMBOLIK….Jenddy (kiri) mewakili Datuk James Ratib, menyampaikan sumbangan meja dan kerusi sebanyak 150 buah kepada pihak sekolah SMK Sanzac, pada majlis itu.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada pihak sekolah dan murid-murid yang telah berjaya mencapai kecemerlangan sepanjang sesi akademik 2023/2024.

“Sewajarnya kita harus meraikan kejayaan mereka yang telah berusaha bertungkus lumus selama ini untuk mencapai kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum di samping kecemerlangan dari aspek sahsiah.

“Diharapkan pencapaian murid-murid tidak berakhir di sini sahaja. Teruskan kecemerlangan itu sampai bila-bila.

“Saya percaya, pewaris-pewaris ilmu yang berada di dalam dewan ini telah bersiap siaga menggalas tanggungjawab meneruskan usaha dalam bidang masing-masing kerana anak-anak merupakan pewaris negara yang akan menentukan jatuh bangun negara pada masa hadapan,” katanya.

Menurut beliau, SMK Sanzac telah mencapai pelbagai kejayaan bukan sahaja dalam bidang akademik, malahan dalam bidang kokurikulum dan sahsiah, dan lebih membanggakan lagi, ada yang sampai ke peringkat antarabangsa.

“Sesungguhnya, kejayaan-kejayaan ini menunjukkan kemenjadian yang berjaya dibentuk dalam kalangan murid-murid.

“Kejayaan-kejayaan yang diperoleh ini membuktikan bahawa SMK Sanzac dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan sekolah-sekolah yang hebat di daerah Kota Kinabalu.

“Atas pencapaian-pencapaian cemerlang tersebut, saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan syabas sekali lagi kepada penerima-penerima anugerah pada hari ini,” jelas beliau. 

Sementara itu, Jenddy mewakili Datuk James Ratib, menyampaikan sumbangan kerusi dan meja berjumlah 150 buah kepada SMK Sanzac untuk keperluan murid-murid di sekolah itu.

Turut hadir, Pengetua SMK Sanzac, Ajmal bin Haji Jumah; barisan penolong kanan; ketua-ketua bidang; jemputan-jemputan khas; para ibu bapa; guru-guru dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN