Jonathan (kiri) menyerahkan kad Kalendar kepada salah seorang pemilik premis di pekan Ranau.
RANAU: Cuaca tidak menentu tidak menghalang lebih 100 orang menyertai Program ‘Walkabout’ sempena Tahun Baharu Cina 2024 untuk mengunjungi lebih 200 pemilik premis di pekan Ranau pada Sabtu.
Program itu merupakan anjuran bersama parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bahagian Ranau sebagai acara tahunan seperti juga sambutan perayaan lain seperti Krismas, Hari Raya dan Pesta Kaamatan.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang turut menyertai program itu bersama pemimpin lain, ketika ditemui menyifatkan program Walkabout sebagai titian memantapkan hubungan perpaduan dan persaudaraan dikalangan rakyat tanpa membezakan kaum, agama, budaya dan idologi politik.
“Kita mengharapkan menerusi program seumpama ini menjadi landasan kukuh memupuk perpaduan sedia terjalin dikalangan penduduk berbilang kaum.
“Inilah keunikan rakyat di sabah khususnya di daerah Ranau ini, meskipun berlainan suku kaum, agama dan budaya namun, tetap boleh bersama duduk semeja dalam apa juga sambutan kebudayaan yang ada”, jelas Datuk Jonathan.
Hadir sama menyerti program itu ialah, Menteri Kewangan Negeri Sabah yang juga ADUN N.37 Karanaan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah dan Penasihat Undang-Undang Dewan Perniagaan Tionghua Ranau serta Persatuan Hakka Ranau yang juga ADUN N.38 Paginatan Datuk Abidin Madingkir dan Pegawai Daerah Ranau, Tinus Bin Manggam serta para pemimpin masyarakat dan Ahli komponen GRS.
          Â