RANAU: Bilangan pegawai perubatan di Hospital Ranau kini telah ditingkatkan kepada 16 orang, bagi menampung keperluan semasa dan memperkukuh kapasiti perkhidmatan, khususnya di Jabatan Pesakit Luar (JPL).
Kekurangan pegawai perubatan akibat pertukaran penempatan menjadi antara punca kekangan aliran kerja klinikal di Hospital Ranau, kata Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Menurutnya, isu tempoh menunggu lama sebelum berjumpa dan diberi rawatan oleh doktor dikenal pasti berlaku di JPL Hospital Ranau sekitar Oktober 2025.
“Secara keseluruhannya, Hospital Ranau pada masa tersebut mengalami kekurangan pegawai perubatan seramai sembilan orang berbanding keperluan sebenar.
“Ketika itu, hanya dua hingga empat pegawai perubatan bertugas sehari di JPL, dan mereka turut perlu mengendalikan pesakit kecemasan, klinik pakar, mengiringi penghantaran pesakit ke hospital rujukan serta tugas lain termasuk pasca panggilan.
“Kekangan ini telah menyumbang kepada peningkatan masa menunggu pesakit,” katanya.
Walaubagaimanapun, Jonathan memberitahu bahawa waktu menunggu katil untuk kemasukkan pesakit ke wad dari Jabatan Kecemasan di Hospital Ranau dari tahun 2022 hingga 2025 berada dalam sasaran yang ditetapkan, iaitu kurang dari 240 minit (4 jam).
Manakala, data terkini indikator responsif lain iaitu peratus pesakit dengan masa menunggu kurang daripada atau sekitar 90 minit untuk berjumpa doktor di klinik pakar juga mencapai sasaran iaitu 92.17%.
Maklumat tersebut diperolehi beliau melalui Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas Tahun 2026 yang diadakan baru-baru ini.
Dalam mesyuarat itu, Jonathan meminta Menteri Kesihatan menyatakan respond terhadap aduan dari para pesakit yang ke Hospital Ranau bahawa tempoh menunggu sebelum diberi rawatan oleh doktor memakan masa yang lama sebelum dapat diberi rawatan oleh doktor.
Beliau meminta penjelasan tentang apakah langkah-langkah drastik yang diambil oleh Kementerian untuk mengatasi isu tersebut.
Sebagai langkah penambahbaikan, tambahnya, bilangan pegawai perubatan di Hospital Ranau kini telah ditingkatkan kepada 16 orang, bagi menampung keperluan semasa dan memperkukuh kapasiti perkhidmatan, khususnya di JPL, seterusnya membolehkan rawatan yang lebih cekap dan berkualiti diberikan kepada pesakit.
“Maklumbalas dari KKM menyatakan bahawa ia tidak membenarkan tempoh kerja berterusan yang berlebihan. Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah mengarahkan agar jadual bertugas telah disusun semula dan pengagihan beban kerja dioptimumkan bagi memastikan pematuhan kepada amalan waktu kerja selamat serta kesejahteraan petugas kesihatan di Hospital Ranau,” katanya.
Tambah beliau, pihak hospital juga melaksanakan langkah penambahbaikan dalaman, di mana, bagi pesakit ulangan di JPL Hospital Ranau, temujanji diberikan secara sistem blok mengikut masa.
Namun, bagi pesakit yang tinggal jauh dan bergantung kepada pengangkutan awam, katanya, kelewatan di luar kawalan boleh berlaku.
Sehubungan itu, penambahbaikan dilaksanakan dengan menetapkan slot temujanji yang dipersetujui bersama pesakit serta memaklumkan lebih awal bahawa kelewatan hadir akan mengakibatkan masa menunggu yang lebih panjang, bagi mengurus jangkaan pesakit dengan lebih jelas.
“Kita difahamkan bahawa langkah-langkah penambahbaikan segera yang telah diambil oleh JKN Sabah dan pihak hospital ini telah mengurangkan masa menunggu dan melancarkan pengurusan aliran pesakit secara keseluruhan di Hospital Ranau,” katanya.
PIX: Datuk Jonathan Yasin



