25 C
Kota Kinabalu
Jumaat, September 13, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Hormati Slogan ‘Sabah Maju Jaya’: Fairuz

Oleh: Liza Din

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan meminta semua pihak untuk terus menghormati dan menyanjung tinggi slogan ‘Sabah Maju Jaya’.

“Slogan ini sudah sebati dengan kita sebagai rakyat Sabah, slogan ini bukan semata-mata sebuah kata-kata, tetapi ini adalah perjuangan kita untuk negeri Sabah, kita ingin Sabah terus maju dan menempa kejayaan.

“Kita sedar memang dua tahun kebelakangan ini adalah tahun paling sukar buat semua kerana COVID19 hadir tanpa kita duga, sekaligus meragut keharmonian ekonomi dan rakyat kita, hampir secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan perbahasan semasa Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kali ke-16, di sini petang tadi.

Fairuz yang juga merupakan Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah juga membangkitkan isu keperluan internet yang masa kini perlu difokuskan dan diperbaiki kerana kehidupan borma baharu amat bergantung kepada keperluan liputan internet.

“Urusan harian, pembelajaran, pengajaran, pendidikan, ekonomi, perniagaan, pekerjaan dan segala urusan termasuk mesyuarat, banyak diadakan secara alam maya dan tidak lain tidak bukan, ia memerlukan internet dan pastinya faktor liputan turut mempengaruhi kualiti,” katanya lagi.

Mengenai isu Kesultanan Sulu, Fairuz juga menyokong kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bahawa tuntutan Filipina adalah tidak berasas sama sekali.

Beliau meminta supaya Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri tidak lagi melayan mana-mana individu yang mendakwa diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu.

“Negara kita, negeri kita, sudah pasti menjadi tanggungjawab kita untuk kita pertahankan sedaya upaya kita.

“Sememangnya tidak perlu kita kisah atau endahkan segala permintaan karut dan tidak masuk akal golongan-golongan itu kerana pastinya ini hanyalah akan menimbulkan kekusutan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat,” ujar beliau lagi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN