Zainul (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Bacho sempena ulang tahun ke 50 LCOT
LABUAN: Hibiscus Petroleum meraikan ulang tahun ke 50 pengoperasian Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT) dalam satu majlis penuh gilang gemilang di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir memeriahkan majlis julung kali diadakan itu, Naib Presiden Pengurusan Kanan Petroleum Malaysia (MPM), Datuk Bacho Pilong, Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato’ Mohd Husni Muhamad Salleh, Pengerusi Hibiscus Petroleum Berhad, Zainul Rahim, Pengarah Eksekutif (Upstream), SMJ Energy Sdn. Bhd. Dato’ Albert Lo dan Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum Berhad, Dato’ Dr. Ken Pereira.
Terdahulu, Zainul ketika berucap pada majlis itu berkata, LCOT adalah antara fasiliti minyak dan gas terawal dan bertahan lama di Malaysia sekaligus kekal menjadi simbol kecemerlangan operasi minyak dan gas negara.
Beliau berkata LCOT telah memulakan operasinya pada tahun 1975 apabila menerima minyak mentah pertama dari Semarang dan kekal sebagai penghubung penting antara pengeluar luar pantai Sabah dan pasaran minyak mentah global setengah abad.
Selain itu LCOT juga terus memainkan peranan penting sebagai pusat penyimpanan dan kemudahan eksport minyak mentah daripada lapangan St Joseph South Furious, SF30 dan Barton dibawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) North Borneo.
“Daripada eksport pertama kira kira 221,000 tong sehari pengeluaran minyak mentah telah meningkat daripada 3,600 tong kepada paras tertinggi 100,000 tong sehari dan ini menunjukan pertumbuhan industri minyak dan gas terus berkembang”, katanya.
Dalam pada itu LCOT akan terus komited dengan penambahbaikan kebolehpercayaan, keselamatan dan kecekapan kos.
Zainul berkata antara inisiatif utama yang diperkenalkan di bawah kendalian Hibiscus ialah pemasangan saluran perlepasan efluen 16 inci baharu untuk meningkatkan pematuhan alam sekitar, memperkukuhkan sistem keselamatan yang melayakan LCOT menerima Anugerah 5 Bintang Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) tahun 2022.
“Pada masa depan Hibiscus Petroleum terus melabur dalam teknologi, perkongsian kepakaran bagi mempastikan LCOT kekal sebagai model kecemerlangan operasi”, katanya.



