33 C
Kota Kinabalu
Isnin, Disember 2, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Hentikan pengwujudan J’kuasa Kampung yang bertindih dengan JKKK sedia ada: Abidin

Abidin (tengah) menerima borang keahlian baru Parti Star


RANAU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir mengutuk usaha pihak lawan untuk meneruskan cadangan untuk mewujudkan Jawatankuasa Kampung yang bertindih dengan JKKK Kampung yang sudah wujud.


“Sekali lagi kita nyatakan bahawa Jawatankuasa ini tidak diiktiraf oleh kerajaan Sabah dan bercanggah dengan Enakmen Pengurusan Luar Bandar yang sdahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.


“Dalam Enakmen tersebut hanya satu sahaja Jawatankuasa yang mengurus keselamatan dan kemajuan kampung iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang dilantik oleh kerajaan Sabah,” tegas beliau.


Beliau berkata demikian semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penerimaan Keahlian Baru Parti StarSabah yang diadakan dekat sini baru-baru ini.


Acara tersebut merupakan acara tiga dalam satu yang melibatkan Pemimpin Bersama Rakyat sempena Sambutan Hari Sabah 2024, majlis kesyukuran perlantikan Ketua Kampung Bitoon yang baru, KK Kalitak Dangkas, dan penerimaan kemasukan ahli baru Parti StarSabah.


Menyentuh tentang perlantikan Ketua Kampung di kawasan itu, Abidin berharap Ketua Kampung yang baru dapat menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan memastikan KPI sentiasa pada tahap yang memuaskan dalam segi disiplin, integriti dan sebagainya.


Beliau turut menggesa para penduduk kampung di sin agar memberi kerjasama yang baik kepada Ketua Kampung yang baru dilantik.


Dalam majlis itu, Abidin sempat menerima borang keahlian baru Parti StarSabah daripada penduduk Kg Bitoon seramai 55 orang.


“Tahniah kepada ahli baru. Ia sudah tentunya akan memantapkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) khususnya di DUN Paginatan.


“PRN17 akan diadakan tidak lama lagi dari sekarang. Oleh itu para penyokong GRS khususnya ahli-ahli Star harus memulakan kerja daripada sekarang untuk memenangkan hati rakyat demi kemenangan GRS dan kesinambungan kerajaan GRS selepas PRN17,” kata beliau.


Sementara itu, berkenaan dengan sambutan Hari Sabah pada tahun ini yang disambut bersamaan dengan Perayaan Hari Kebangsaan iaitu pada 31 Ogos 2024, beliau menekankan betapa pentingnya untuk hari tersebut diingati oleh semua rakyat Sabah.


“Sabah diberi taraf merdeka sendiri oleh British pada 31hb Ogos 1963 di mana pada masa yang sama tiga perkara penting yang telah berlaku iaitu; Bendera Baru Sabah telah diperkenalkan; Lagu Sabah Tanah Airku diperkenalkan; dan North Borneo telah ditukar nama kepada Sabah.


“Sebelum ini terdapat keciciran dalam sejarah kemerdekaan Sabah. Atas kegigihan Datuk Dr Jeffry Kitingan, yang juga Presiden Parti StarSabah, akhirnya Hari Sabah telah diiktiraf oleh Kerajaan Sabah sebagai Hari Kemerdekaan Sabah pada 31hb Ogos dan akan disambut setiap tahun oleh rakyat Sabah,” jelas beliau.


Turut hadir Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, KAN Dualis Porodtong, KAN Sawalin Zakaria dan KAN Kapilin Hj Surop, Ketua Wiranita, Siti Nurjana Abas, Ketua Wiramuda, Hillary Salmoen, Ketua Penerangan, Suhaimin Duari, AJK Bahagian, Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN