OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun khususnya dalam kalangan masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) di negeri ini adalah wadah perpaduan yang terbaik.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin, berkata ini kerana perayaan Kaamatan turut diraikan bersama segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama.
Menurutnya, walaupun perayaan Kaamatan pada tahun ini dan tahun lalu tidak dapat disambut seperti tahun-tahun sebelumnya akibat Pandemik Covid-19, namun di hati sambutan kaamatan ini tetap sentiasa segar dan meriah.
“Perayaan Kaamatan ini mengingatkan kita tentang kebudayaan masyarakat KDMR sejak dahulu untuk meraikan dan mensyukuri keberhasilan tanaman padi pada setiap tahun.
“Walaupun pada zaman sekarang bukan semua masyarakat KDMR terlibat dalam penanaman padi namun perayaan ini tetap diingati dan diraikan kerana ia adalah budaya sejak dahulu,” katanya dalam ucapan sempena Kaamatan tahun 2021.
Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau, turut mengajak masyarakat KDMR walau dimanapun berada, untuk menghayati Kaamatan dalam konteks sebenar dengan mengambil peluang ini berterima kasih terhadap apa yang dikurniakan oleh Tuhan.
“Semoga pada tahun ini kita semua terus diberkati oleh Tuhan dalam semua usaha yang kita lakukan dan dijauhkan dari ancaman virus Covid-19.
“Selaku Ahli Parlimen Ranau, kesempatan ini saya dan keluarga mengucapkan ‘Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan’, moga sentiasa ceria dan berbahagia bersama keluarga serta sanak saudara. ‘Lindung diri, lindung semua”.