Gambar atas: Abidin ketika berucap merasmikan mesyuarat tersebut
RANAU: Pemegang adat di daerah ini khususnya di DUN N38 Paginatan digesa agar menghayati dan memahami semua enakmen yang terkandung dalam Mahkamah Anak Negeri demi memperkasakan Mahkamah Anak Negeri sebagai satu institusi yang setaraf dengan Mahkamah Sivil.
Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pemegang Adat Paginatan di Pusat Markas STAR Kampung Lohan baru-baru ini, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir berkata, semua pemegang adat masing-masing telah memiliki salinan enakmen Mahkamah Anak Negeri. Tugas mereka ialah mempelajari dan memahami implikasi dan prosuder setiap peruntukan enakmen yang telah ditetapkan.
“Masyarakat kita terdiri daripada pelbagai adat istiadat yang berbeza mengikut tempat. Justeru itu sangat mustahak bagi pemegang adat memahami peruntukan-peruntukan enakmen Mahkamah Anak Negeri untuk memudahkan pemegang adat menjalankan sesuatu tugasan dengan penuh adil dan saksama. Apabila ianya telah dikuasai dan dipraktikkan dengan penuh dedikasi bermakna pemarkasaan institusi Mahkmah Anak Negeri itu telah tercapai,” katanya.
Menurut Abidin, para pemegang adat merupakan mata dan telinga kerajaan. Mereka harus mempastikan semua adat dipatuhi seadil-adilnya oleh masyarakat.
Beliau mengharapkan persatuan itu juga dapat menjaga kebajikan, mengeratkan perasaan muhibah dan saling hormat-menghormati di kalangan ahli dan masyarakat setempat.
Abidin turut menyokong usaha persatuan itu untuk menerbitkan buku adat. Katanya, buku adat adalah sesuatu yang sangat penting bukan sahaja sebagai rujukan pemegang adat tetapi menjadi bahan yang akan diwarisi oleh generasi akan datang.

Gambar : Para Pemegang Adat bergambar bersama Abidin selepas mesyuarat
“Saya menyokong usaha murni ini. Jika buku adat itu sudah siap dan perlu kos untuk penerbitan, maklumkan kepada saya, saya akan usahakan untuk mencari dana,” ujarnya lagi.
Abidin turut meluluskan peruntukan RM10 ribu untuk 5 buah Balai Adat di setiap mukim bagi pembelian kelengkapan urusetia dan pembelian baju khas persatuan bagi 20 orang ahli lantikan terbaru.
Terdahulu, turut berucap ialah Ketua Daerah, Muhasif Haji Ruman dan Ketua Anak Negeri Paginatan selaku Pengerusi Mesyuarat, Dualis Porodtong.
Hadir bersama pada majlis itu ialah PPM Paginatan Mohd. Hisyamuddin Harun, CDO Paginatan Jipili Sigal dan Setiausaha STAR Bahagian Paginatan Juis Konsuling.