Gambar atas : Kareen menyampaikan cendera kenangan kepada perasmi. Kanan ialah Jusnah
RANAU: Hasil kraf tangan berasaskan manik dan biji dalai serta pinadang mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya diusahakan dengan minat, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Ini kerana produk tersebut adalah antara hasil kraf tangan yang mempunyai permintaan dan prospek tinggi bukan sahaja di pasaran tempatan malah di luar negara.
Berucap mewakili Datuk Dr. Joachim Gunsalam pada majlis penutupan kursus kraf tangan di Pusat Kemahiran Masyarakat Kampung Matan, baru-baru ini, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.36 Kundasang, Dounis Sany berkata hasil kraf tangan yang biasanya menggambarkan kebudayaan etnik di satu-satu tempat adalah suatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan dan termasuklah apa-apa keluaran. Justeru tanpa minat dan ketekunan sesuatu produk itu tidak akan dapat dihasilkan dengan baik dan menarik perhatian pelanggan.

Gambar atas (kursus Pinadang) Gambar bawah (kursus manik dan dalai)
Beliau memuji dan mengucapkan syabas kepada Pengerusi Persatuan Kebudayaan Etnik Dusun Ranau (PKEDR) merangkap Pengerusi KDCA Cawangan Tanah Rata, Kereen Domi kerana berjaya menganjurkan kursus yang berlangsung selama 2 hari itu. Beliau turut mengalu-alukan agar lebih banyak kursus pada masa-masa akan datang bagi memberi peluang para peserta yang meminati kraf tangan termasuklah para belia supaya seni menghasilkan kraf tangan kalangan etnik Dusun dalam daerah ini dapat diwarisi dan dipromosikan.
“Kita melihat pada hari ini selain wanita ada juga peserta lelaki. Ini sesuatu yang baik dan membuktikan kaum lelaki juga mampu meneroka bidang ini. Harapan kita lebih ramai peserta pada program akan datang. Pihak penganjur juga boleh menjadikan program hari ini untuk memilih peserta yang berpotensi untuk dilatih menjadi jurulatih pada masa akan datang” katanya.
Terdahulu Kareen dalam ucapannya berkata, selain memberikan ilmu pengetahuan kepada para peserta, program tersebut adalah sebagai asas mempromosikan bahan jualan kraftangan masyarakat dusun di daerah ini.

Gambar: Dounis bersama sebahagian peserta kursus. 2 dari kanan ialah Slyvester
“Jualan kecil-kecilan lambat laun akan bertambah besar terutama apabila timbul individu dan syarikat atau premis yang memerlukan bahan kraftangan seperti ini dalam skala yang besar sebagai contoh buah dalai sudah boleh dijadikan bahan jualan yang menguntungkan kerana permintaan yang tinggi untuk membuat kraf tangan. Dalam bulan Mei nanti, Pejabat Daerah Ranau akan memberikan satu bot kepada ahli persatuan untuk menjual bahan-bahan kraf tangan. Rebutlah peluang ini dengan menghasilkan apa sahaja bahan-bahan kraf yang menarik dan berkualiti termasuklah hasil pada hari ini” ujar Kareen.
“Terimakasih kepada Puan Jusnah Jinos kerana menjadi jurulatih pada hari ini. Terimakasih juga kepada Encik Slyvester yang memberikan kebenaran menggunakan tempat ini. Besar kemungkinan pihak persatuan akan terus memohon kebenaran menggunakan tempat ini sebagai pusat berkursus” katanya lagi.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cendera kenangan, penyampaian sijil dan sesi foto. Turut hadir ialah Slyvester Ikun, Penolong Pegawai Latihan Asas Kemahiran Masyarakat Kampung Matan, Pidolis Sampin (Pembantu Operasi) dan Nazad Abdullah (Pegawai Pengiring).