OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Polis daerah ini telah membuka satu kertas siasatan dan mengeluarkan kompaun ke atas tiga lelaki tempatan yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan bermula 1Jun hingga 14 Jun 2021.
Ketua Polis Daerah Ranau , DSP Sammy Newton, berkata bertindak atas maklumat orang awam, dua individu berumur lingkungan 20an ditangkap selepas didapati tidak memakai pelitup hidung dan mulut dalam kejadian yang berlaku di sebuah Bank, Pekan Kundasang, semalam (1 Jun 2021)

INGKAR PKP.. Dua individu yang tular kerana tidak memakai pelitup hidung dan mulut di sebuah Bank, Pekan Kundasang, semalam -gambar PDRM/ ornag awam
Katanya, kedua-dua lelaki tersebut akan direman bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Sek. 269 Kanun Keseksaan dan Perkara 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Dalam kejadian berasingan, polis turut mengeluarkan kompaun ke atas seorang lelaki tempatan berumur 17 tahun kerana didapati tidak memakai pelitup hidung dan mulut semasa berada di sebuah kedai di Pekan Kundasang, juga pada 01 Jun 2021.
“Lelaki tersebut telah dikompaun sebanyak RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Dalam pada itu, DSP Sammy menasihatkan orang awam supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakan tindakan tegas diambil.
Tegas beliau, pihak Polis tidak akan bertolak ansur kepada individu yang masih berdegil dan mengingkari PKP 3.0.