30 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Oktober 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Harga koko meningkat 200%, petani digesa ambil peluang tingkatkan produktiviti

– Dr Ramle (kedua kanan) penyampaian Anugerah Hasil Biji Koko Terbanyak Tahun 2023 kepada salah seorang penanam


RANAU: Para petani koko digesa mengambil peluang terhadap kenaikan harga koko yang meningkat 200% pada masa ini untuk menjaga kebun koko dengan baik supaya dapat meningkatkan produktiviti koko mereka.


Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr Ramle Hj Kasin berkata, harga biji koko kering pada masa kini adalah dianggarkan bernilai RM24.70 sekilo atau dua kali ganda berbanding dengan harga pada tahun-tahun sebelumnya.


“Harga ketika ini adalah harga yang tertinggi dalam sejarah penanaman koko. Oleh yang demikian, saya berharap agar harga tinggi ini dapat memberikan motivasi yang tinggi kepada para petani untuk terus mengusahakan kebun koko dengan lebih baik lagi.


“Namun begitu, kualiti biji koko yang dikeluarkan adalah menjadi keutamaan dan melalui kepentingan penjagaan kualiti biji koko yang dikeluarkan selaras dengan Standard Malaysian Cocoa (SMC) yang digunapakai dalam menentukan gred-gred biji koko,” katanya.


Di samping itu juga beliau mahu melihat kawasan Unit-Unit LKM di sini dapat mengeluarkan biji-biji koko yang berkualiti tinggi seperti pengeluaraan biji koko single origin dan special flavour.


“Terdapat permintaan dan tawaran harga-harga yang tinggi daripada pengusah-pengusaha coklat terhadap biji-biji koko seumpama ini dan pihak LKM juga banyak bekerjasama dengan pengusaha-pengusaha tersebut seperti Barry Callebaut dan Nestle,” katanya.


Dr Ramle (tengah) menerima cenderakenangan daripada Abdul Karim sambil diperhatikan oleh Bidi

Dr Ramle berkata demikian semasa merasmikan Kursus Pemantapan Kualiti Biji Koko dan Pengurusan Kebun, di Hotel Perkasa Mt Kinabalu, Kundasang pada hari Khamis.


Seramai 100 orang pekebun kecil koko seliaan LKM Unit Ranau serta 20 orang kakitangan LKM telah menyertai kursus ini yang bertujuan untuk merangsang motivasi dan meningkatkan potensi petani secara maksimum dalam mengusahakan tanaman koko serta meningkatkan pengeluaran hasil koko dan kualiti koko Kawasan seliaan Daerah Ranau.


Salah satu keunikan kursus itu adalah penyertaan bukan sahaja petani-petani koko malahan juga kakitangan-kakitangan LKM terutamanya yang terlibat secara langsung dalam penyampaian maklumat-maklumat terkini penjagaan kebun dengan baik.


Selain daripada itu, kakitangan-kakitangan yang terlibat dalam aktiviti pembelian dan penjualan biji koko kering juga dilibatkan bersama agar kefahaman terhadap kategori-kategori kualiti biji koko dapat dimantapkan lagi.


Para penceramah kursus termasuk Penolong Pegawai Penyelidik Kanan Paulus Lasiuan dan Stephen Milin, Pembantu Ehwal Ekonomi Kanan Nurhairi Suratman dan Amin Acho.


Sementara itu, Dr Ramle berkata bahawa kerajaan sedar akan kepentingan meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan dan telah meluluskan peruntukan untuk program pembangunan tanaman koko negara dari 2024 hingga 2026.


“Antaranya adalah Projek Pemulihan Kebun Koko yang akan dilaksanakan dengan RM9.5 juta.


“Daripada jumlah tersebut Program Pemulihan Kebun Koko di Sabah diperuntukan sebanyak RM5 juta bagi memulihkan 1,344 hektar kawasan tanaman koko sedia ada,yang akan memberi manfaat kepada 2,084 orang petani,” katanya.


Tambah beliau lagi, LKM Unit Ranau sedang melaksanakan projek-projek pembangunan lain, seperti RPHK12 Tanaman Baharu 2022 seluas 110 hektar dan Tanaman Baharu 2023 seluas 40 hektar.


Inisiatif-inisiatif ini, katanya, bertujuan untuk memperluas penanaman koko di Malaysia, khususnya di kawasan seliaan Unit Ranau, dengan 27% daripada jumlah tanaman baharu sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 dilaksanakan.


Justeru itu sebagai menyokong kepada program-program Pembangunan kebun, projek-projek rantaian kluster koko dan projek kelestarian tanaman koko juga banyak dibangunkan di Unit LKM Ranau.


Dr Ramle turut memberitahu bahawa Komplex Kluster Koko di Napong Ranau yang berkonsepkan farm to table dijangka akan siap dan boleh digunakan pada tahun 2024 ini juga.


“Saya berharap agar dengan adanya kompleks kluster koko ini maka produktiviti dan kualiti biji koko akan dapat dipertingkatkan.


“Saya juga berharap dengan penstabilan harga koko yang agak tinggi dibeli oleh pihak Koperasi Kluster Koko Sabah ini juga dapat menaikkan semangat para petani-petani koko untuk mengusahakan koko mereka,” jelas beliau.


Juga diadakan dalam majlis itu, penyampaian Anugerah Hasil Biji Koko Terbanyak Tahun 2023 kepada penanam dari Zon Kundasang, Karanaan, Paginatan, Kota Belud dan Tambunan.


Turut hadir, Pengarah Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengembangan Abdul Karim Che Hamid, Pengerusi Persatuan Penanam Koko Ranau (PPKR) merangkap BOD LKM Bidi Bongkok, Pegawai Wilayah TOTe Sabah Nazmiah Mohd Duin, Ketua Unit LKM Ranau merangkap Pengerusi Penganjur Program Edwin Mujin, Pengerusi Pelaksana Program Eddmas Nizam Sanin dan lain-lain.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN