25 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 24, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

‘Hanya Lesen Prospecting, bukan untuk melombong’ – Abidin

Abidin (tengah) menjelaskan keadaan sebenar isu perlombongan emas kepada rakyat di sini pada Khamis

RANAU: Setakat hari ini, hanya Lesen Pemerhatian (Prospecting License) dikeluarkan bagi syarikat swasta berkenaan yang ada kaitan dengan isu perlombongan emas di Kg Bongkud dan Namaus dan bukannya lesen menggali.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, sebenarnya isu itu bukan seperti yang dipaparkan di media sosial yang mana ramai yang percaya lesen melombong telah dikeluarkan untuk syarikat terbabit.


Beliau berkata, ramai yang tidak mengetahui bahawa terdapat dua lesen yang perlu dikeluarkan untuk sebarang aktiviti perlombongan berlaku iaitu yang pertama Prospecting License dan yang kedua Lesen Perlombongan.


“Kalau tak silap saya, Lesen Prospecting telah dikeluarkan kepada banyak syarikat sebelum ini. Tugas mereka adalah mengenal pasti ada emas atau tidak. Selepas itu, ini akan dikeluarkan kepada Lembaga Pengurusan Mineral Negeri.


“Apa sahaja penemuan yang dikumpul di Lembaga Pengurusan Mineral Negeri akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri, yang merupakan kuasa tertinggi untuk menentukan sama ada jawapannya ya, atau tidak.


“Terlalu banyak faktor yang perlu dilalui. Untuk memulakan perlombongan bukanlah perkara yang mudah. Ini adalah era baharu dan keadaannya jauh daripada keadaan dahulu ketika zaman Perlombongan Tembaga Mamut,” katanya.


Menurut Abidin, untuk memulakan penggerudian emas, terdapat banyak terma dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh syarikat itu.

Abidin (tengah) bersalaman dengan Pitah sebagai tanda damai dan menenangkan isu perlombongan emas di kawasan itu.


“Yang pertama ialah Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan satu lagi ialah Penilaian Kesan Sosial (SIA). Yang kedua itu adalah syarat baru yang tidak diperlukan semasa pembukaan lombong Mamut.


“SIA mengkaji apakah kesannya kepada rakyat sekiranya projek perlombongan itu diberi kelulusan untuk diteruskan. Apakah masalah yang akan timbul sekiranya aktiviti perlombongan dijalankan?


“Apatah lagi syarat yang perlu dipenuhi dalam kategori EIA. Jadi yakinlah bahawa untuk syarikat swasta memperoleh Lesen perlombongan ia tidak akan begitu sahaja memohon dan terus dapat,” katanya.


Abidin mengulangi bahawa sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab di luar sana yang mendakwa Lesen untuk melombong telah dikeluarkan, maka ia tidak benar sama sekali.


Beliau berkata kerajaan hari ini mengambil berat tentang isu itu dan Ketua Menteri juga prihatin mengenainya.


“Saya sudah beberapa kali berjumpa dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor dan berbincang dengan beliau mengenai perkara itu, dan KM amat maklum mengenai perkara ini serta nasib rakyat di sini,” katanya.


Abidin yang juga Adun Paginatan berkata demikian semasa Program Perjumpaan Khas Bersama Penduduk Bongkud dan Namaus yang diadakan di Mini dewan Kg Bongkud pada Khamis.


“Dengan perjumpaan yang kita adakan hari ini antara saya dan ketua-ketua masyarakat serta penduduk kampung di sini hari ini, ia akan mengukuhkan perkara yang kita inginkan terhadap isu ini dan membawa semacam ketenangan dan kelegaan kepada semua penduduk di sini.


“Saya tidak mempertikaikan apa yang diperkatakan oleh ketua kampung setempat serta penduduk di sini. Malah saya bersetuju dengan sentimen anda kerana saya juga salah seorang penduduk di Kg Bongkud, dan saya tahu bagaimana keadaan di sini,” katanya.


Bagaimanapun, beliau kesal kerana ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan ini untuk bermain permainan politik mereka dan cuba mengelirukan lagi rakyat yang sudah terbeban ekoran bimbang dengan nasib mereka.


“Sesetengah pihak memfitnah saya di media sosial dengan mengatakan saya tidak mengambil berat tentang isu ini. Dalam saya menentang isu ini dipolitikkan, seseorang menulis di media sosial bahawa ‘protes adalah penyelesaian politik’.


“Boleh sesiapa beritahu saya apa maksudnya ini? Mengapa isu ini dikaitkan dengan politik? Disiarkan bahawa bantahan ini perlu dilakukan di semua daerah di seluruh negeri. Mengapa perlu memaut kepada orang lain?” soal beliau.


Abidin berkata, mereka yang benar-benar mengambil berat tentang isu itu sepatutnya berusaha mencari penyelesaian terbaik atau situasi menang-menang untuk semua yang terlibat dan tidak menggembar gembur perkara itu secara berlebihan.


Sehubungan itu, Abidin berharap penduduk dari beberapa kampung di sini memberikan sepenuh kepercayaan kepada beliau sebagai Wakil Rakyat di sini untuk menyelesaikan masalah ini bersama Ketua Menteri.


Selain itu, beliau turut memberitahu pihak tidak bertanggungjawab itu supaya berhenti bermain politik dan membawa penduduk ke sini terus bergolak, sebaliknya fokus melakukan perkara yang baik untuk rakyat.


Turut hadir Penolong Pegawai Daerah, Hasinin Bin Kinsim, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N38 Paginatan, Hisyamudin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Pitah Yusuf, Setiausaha STAR Bahagian Paginatan, Juis Konsuling, Pegawai Pembangunan Masyarakat N38 Paginatan, Sainin@Onit Bin Hamid dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN