Hajiji ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera peringkat Negeri Sabah 2024.
KOTA KINABALU : Beberapa sektor penting dalam agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) menjadi keutamaan dalam memastikan pembangunan dan kemakmuran rakyat tercapai.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, dalam usaha kerajaan negeri membawa pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat serta negeri, beberapa sektor penting dalam agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya terus menjadi keutamaan.
“Antaranya keterjaminan makanan, meningkatkan pelaburan dari dalam dan luar negara, pelancongan, menoktahkan miskin tegar, peningkatan infrastruktur, pendidikan, peningkatan penyampaian perkhidmatan serta keselamatan.
“Di samping itu, kerajaan turut memberi penekanan kepada modal insan khususnya generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa akan datang agar berusaha gigih dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada terus diganggu gugat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Justeru, saya berharap agar rakyat terus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian yang telah menjadi kekuatan utama dalam pembangunan dan kemajuan negara dan negeri ini.
“Sesungguhnya, rakyat mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memelihara dan mempertahankan perpaduan yang sedia terjalin,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera peringkat Negeri Sabah 2024 di perkarangan DBKK, pada Khamis.
Pada majlis tersebut beliau turut mengajak rakyat Malaysia di negeri ini menunjukkan semangat cintakan negara atau patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sepanjang Bulan Kebangsaan.
“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia di negeri ini supaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di kediaman masing-masing, bangunan pejabat dan premis perniagaan serta kenderaan sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran dengan nikmat kemerdekaan.
“Sudah pasti dengan adanya semangat dan komitmen tinggi untuk sama-sama menjayakan sambutan ini, saya yakin Jalur Gemilang dan bendera negeri akan sentiasa berkibar megah bukti kita semua bersatu hati bagi mempertahankan serta mengisi nikmat kemerdekaan.
“Bulan Kebangsaan bukan sekadar perayaan semata-mata, ia juga merupakan peluang untuk kita menyantuni rakyat dengan pengisian pelbagai program antaranya Kembara Merdeka, Simfoni Jiwa Merdeka dan program Merdeka @Komuniti Peringkat Parlimen dan DUN bagi mengekalkan semangat perjuangan dan patriotisme dalam kalangan rakyat berbilang kaum negeri ini,” tegasnya.
Hajiji menyeru agar rakyat memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini memandangkan Hari Sabah akan turut diraikan bersama setelah Kerajaan Negeri pada Jun lalu mewartakan untuk memperingati hari bersejarah itu yang menandakan berakhirnya pemerintahan British di Sabah pada 31 Ogos 1963.- Penerangan–