Abidin menyampaikan Sijil Penghargaan kepada salah seorang pengamal media pada majlis itu.
KOTA KINABALU: Sudah tiba masanya penggunaan pesawat udara tanpa pemandu
(unmanned aerial vehicle (UAV)) diperkasakan bagi memantapkan lagi penubuhan dan
peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, ia bagi memastikan penubuhan ESSCOM selaku peneraju keselamatan dalam mengkordinasi pengoperasian kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur
(ESSZone) dapat dioptimumkan terutama dari segi keupayaan dan kesiapsiagaan
pasukan keselamatan.
Menurutnya, kawasan ESSZone meliputi 10 daerah, dari Kudat hingga ke Sandakan
dan keadaan ini amat mencabar.
“Justeru, penggunaan UAV ini bukan sahaja akan mengurangkan risiko keselamatan
kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas tetapi juga meningkatkan domain
udara khususnya dalam melaksanakan pengawasan di kawasan pantai timur Sabah dan
lebih berorientasikan pengguna akhir (end user)”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Penghargaan Media ESSCOM Tahun 2023
di Hotel Hilton pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk
Abidin Madingkir.
Hajiji yang juga Pengerusi Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) dan
bertanggungjawab kepada ESSCOM berkata, penggunaan aset dan teknologi baharu
seperti UAV akan memperhebatkan lagi kawalan keselamatan di Sabah khususnya di
ESSZone.
Menurutnya, ini akan membantu memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan di
sempadan dan perairan negara bagi menangani sebarang keadaan atau isu yang tidak
diingini”, tegasnya.
Katanya, atas dasar keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap kebajikan petugas
ESSCOM, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan
peruntukan sebanyak RM40 juta bagi meningkatkan infrastruktur dan fasiliti kuarters
petugas ESSCOM di Lahad Datu.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan dan semoga inisiatif ini akan
menambahkan lagi semangat petugas di Esscom untuk memberikan yang terbaik dalam
mempertahankan kedaulatan negara”, tegasnya.
Mengulas kes tuntutan Sulu, beliau berkata, keputusan oleh Mahkamah Tinggi The
Hague yang memihak kepada Malaysia merupakan kemenangan besar kepada
kerajaan Malaysia amnya dan Sabah khasnya.
Hajiji menegaskan, ini membuktikan bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti
berusaha melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara.
Demikian juga kerajaan negeri Sabah, tidak akan pernah membenarkan mana-mana pihak yang cuba mencabul hak dan kedaulatan negeri Sabah.
Sementara itu Hajiji menggesa semua pengamal media agar terus mendidik masyarakat
melalui penulisan berita untuk menjadi warga yang cintakan negara serta memiliki jati
diri yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara, lebih-lebih lagi khas untuk
negeri Sabah.
“Hakikatnya, tiada siapa boleh menafikan kepentingan peranan pihak media dalam
mendidik masyarakat melalui penulisan di media massa. Kata pepatah ‘mata pena lebih
tajam daripada mata pedang’ amat signifikan kerana melalui penulisan, media dapat
mengubah pemikiran masyarakat. Malah kekuatan mata pena boleh menentukan jatuh
bangun sesebuah negara”, tegasnya.
Katanya, janji Kerajaan Perpaduan memberikan kebebasan media adalah suatu impian
yang sedang dilaksanakan. Cadangan pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan
serta penyemakan semula Akta Anti Berita Tidak Benar dan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjadi cerminan kepada komitmen dan keseriusan kerajaan mewujudkan persekitaran media yang bebas menyalur maklumat berwibawa kepada rakyat dan kerajaan.
Beliau berkata, banyak perkara yang perlu ditimbang tara sebelum merealisasikan
impian ini terutama ledakan maklumat akibat kemajuan teknologi mengubah cara dan
budaya pemikiran anak-anak muda kita.
“Kita tidak mahu maklumat-maklumat yang tidak benar mempengaruhi anak-anak muda
kita. Justeru, untuk menangani masalah ini negara memerlukan satu sistem yang mengawal selia kandungan media supaya hanya maklumat yang berkredibiliti, tepat dan dipercayai sahaja sampai kepada anak-anak muda ini. Semoga impian kebebasan media ini akan dapat direalisasikan pada masa hadapan”, tegasnya.