GAMBAR: AKIBAT kebakaran gudang kimia di kawasan industri Rancha-Rancha kepulan asap tebal dapat dilihat dari jarak 10 kilometer
LABUAN: Sebuah gudang bahan kimia milik Baker Hughes yang menyimpan bahan berbahaya di kawasan industri, Kampung Rancha-Rancha di sini, musnah terbakar petang kelmarin
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, penduduk kampung yang berhampiran dilaporkan terdengar bunyi letupan kuat serta asap tebal yang dapat dilihat sekitar 10 kilometer.
Dalam waktu yang sama penduduk kampung juga dapat melihat bahan cecair kimia yang tumpah mengalir ke jalan raya turut di sambar api akibat daripada kebakaran itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ismaidi Ismail berkata seramai 36 anggota bomba dari balai bomba Layangan, Balai Bomba Rancha-Rancha, Balai Bomba dan Balai Bomba Jalan Jawa bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, kebakaran gudang untuk menyimpan bahan kimia berkaitan minyak dan gas itu disedari oleh seorang pekerja gudang yang memaklumkan kepada pihak berkuasa beberapa minit selepas kejadian.
Katanya, pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 2.34 petang bergegas ke tempat kejadian.
“Bagaimanapun setibanya anggota bomba di tempat kejadian kira kira jam 2.38 petang, kelihatan asap tebal menunjukkan api sudah lama merebak” katanya ketika dihubungi.
Ismaidi berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.20 petang dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.



