Grelydia Gillod mengedarkan kuntuman bunga kepada wanita di Pasar Umum Keningau sebagai tanda penghargaan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2026.
KENINGAU: Penyelaras DAP Keningau, Grelydia Gillod, mengedarkan kuntuman bunga kepada para wanita di Pasar Umum Keningau sebagai tanda penghargaan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2026, pada Ahad.
Program ringkas itu diadakan bagi menghargai peranan wanita yang disifatkan sebagai tonggak penting dalam institusi keluarga, masyarakat serta pembangunan negara.
Grelydia yang juga Ketua Wanita DAP Keningau berkata sambutan Hari Wanita Sedunia memberi ruang untuk mengiktiraf sumbangan besar wanita dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan pembangunan sosial.
Menurutnya, wanita memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga yang kukuh serta mewujudkan masyarakat yang harmoni.
“Sambutan ini merupakan simbol penghargaan kepada dedikasi dan pengorbanan wanita yang sentiasa menjadi kekuatan dalam keluarga dan masyarakat,” katanya ketika ditemui semasa menyantuni pengunjung wanita di pasar berkenaan.
Beliau berkata usaha memperkasakan wanita perlu terus diperkukuh bagi memastikan golongan itu memperoleh peluang yang adil dan seimbang dalam pelbagai sektor pembangunan negara.
“Saya percaya memartabatkan wanita bukan sekadar menghargai jasa mereka, tetapi juga mengiktiraf kekuatan yang membentuk masa depan negara,” katanya.
Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun bertujuan menghargai peranan serta pencapaian wanita di seluruh dunia.



