Oleh: Salwah Aramat
RANAU : Penduduk Kg.Gana-Gana dan kampung-kampung sekitarnya, merayu kerajaan menerusi Syarikat Globinaco supaya menaiktaraf jalan raya menuju ke kampung berkenaan untuk kemudahan mereka menghantar hasil pertanian ke pekan Ranau.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg.Gana-Gana, Witrinia Kimin mewakili penduduk memberitahu jalan raya sejauh dua kilometer dari Jalan raya Utama Ranau-Tambunan menuju kampung itu telah mula dibina sejak tahun 1980-an kini sudah rosak teruk dan masalah tersebut sudah banyak kali di bawa ke pengetahuan Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau, tetapi alasannya Syarikat Globinaco yang bertanggungjawab.
“Kami serba salah, sama ada JKR yang bertanggungjawab atau syarikat Globinaco”, jelas Witrinia ketika menghubungi Media kelmarin.
Menurutnya, ratusan penduduk dari bebarapa buah kampung sekitar seperti Kg.Giring-Giring, Kg.Gaur, Kg.Nampasan dan Kg.Bayag turut menggunakan jalan raya itu yang kini semakin mengalami kerosakan teruk.

Witrinia mendedahkan, sudah banyak kali penduduk bergotong-royong membaiki kerosakan jalan raya tersebut namun, tidak bertahan lama kerana memerlukan sistem perparitan yang lebih sempurna.
“Sudah banyak kenderaan penduduk rosak kerana laluan jalan raya itu yang berselekoh tajam, curam dan sudah berlubang-lubang”, jelasnya sambil memberitahu jumlah penduduk Kg.Gana-Gana kini mencecah 339 orang.
Beliau terpaksa mendedahkan masalah itu kepada Media atas desakan dan saranan penduduk yang mahukan pembangunan projek infrasuktur demi keselesaan dan keselamatan mereka. -T A M A T-