26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Januari 17, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Gerakan pengguna yang aktif mampu merealisasikan matlamat Kerajaan: James

Datuk James (kiri), Georgie (kanan) bergambar selepas mesyuarat di Sandakan, pada Khamis

SANDAKAN: Penglibatan aktif gerakan pengguna dengan memaknai ‘Kuasa Pengguna’ akan membawa impak besar dalam mewujudkan ikhtiar nasional, melalui pendekatan ‘whole of nation’.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Negeri Sabah, Datuk James bin Ratib berkata, hal ini penting bagi merealisasikan matlamat Kerajaan dalam memelihara kepentingan pengguna dan menyantuni isu kos sara hidup rakyat.

“Pendekatan holistik dan inklusif dalam memastikan bahawa setiap lapisan masyarakat faham dan cakna akan hak-hak serta tanggungjawab mereka sebagai pengguna penting untuk membina masyarakat yang bukan sahaja celik pengguna, tetapi juga berani bertindak untuk melindungi kepentingan mereka.

“Pelaksanaan kempen kesedaran secara berterusan melalui pelbagai medium seperti media sosial, televisyen, radio, dan seminar komuniti perlu memberi tumpuan kepada hak-hak pengguna seperti hak untuk mendapat maklumat yang betul, hak untuk memilih, dan hak untuk mendapatkan ganti rugi sekiranya berlaku penipuan atau ketidakpatuhan.

“Pendidikan mengenai hak pengguna sewajarnya dimulakan seawal di peringkat sekolah, supaya generasi muda sedar akan hak-hak mereka dan boleh membuat keputusan yang bijak dalam pembelian produk atau perkhidmatan,” katanya.

James yang juga ADUN Sugut berkata demikian semasa mempengerusikan bersama Mesyuarat Gerakan Pengguna Negeri Sabah Bil. 1/ 2024 yang diadakan di Livingston Hotel, Sandakan pada hari Khamis.

Beliau berharap ahli-ahli mesyuarat dapat bersama-sama mengenalpasti cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pengguna, merangka strategi untuk mengatasi masalah tersebut, dan memastikan hak-hak pengguna dilindungi dengan lebih berkesan.

“Kita perlu mengenalpasti cabaran yang memberi impak kepada rakyat Sabah khususnya, seperti kenaikan harga barang, penipuan dalam talian, dan isu perkhidmatan awam,” katanya.

Sementara itu, James berterima kasih kepada jemputan pembentang pocket talk dalam program itu, Azmin bin Julpae, Penguasa Kastam, Bahagian Cukai Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Sabah berhubung Perubahan Kadar Cukai Perkhidmatan Lapan (8) Peratus dan Cukai-cukai lain yang berkaitan.

Penghargaan turut beliau berikan kepada seorang lagi pembentang, Lydrianna Koh, Penolong Pengarah SKMM Cawangan Sandakan, Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia Negeri Sabah yang mengongsikan maklumat dan memberikan pemahaman lebih jelas berhubung Isu Capaian Talian Internet, Panggilan & Syarikat Kurier, selain pembentang dari Pejabat KPDN Negeri Sabah.

“Saya mengharapkan program kepenggunaan yang akan dilaksanakan pada tahun ini dapat memanfaatkan pelbagai kaedah penyampaian, melibatkan peserta dari pelbagai peringkat umur dan di lokasi-lokasi yang berbeza meliputi seluruh daerah.

“Dengan pendekatan ini, saya yakin lebih ramai rakyat Sabah akan sedar tentang hak-hak mereka dan berani mengambil tindakan melalui saluran yang betul.

“Kerajaan negeri dan persekutuan juga komited dalam menangani isu-isu kepenggunaan, dengan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan untuk melindungi pengguna, khususnya di Sabah,” jelas beliau.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah merangkap Pengerusi Gerakan Pengguna Negeri Sabah, Georgie Abas, wakil-wakil Setiausaha Tetap Kementerian, jemputan khas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan ESSCOM Lahad Datu, OCPD Sandakan, wakil-wakil Pengerusi-pengerusi Gerakan Pengguna Daerah (GPD), Ketua-ketua jabatan ahli-ahli Mesyuarat GPN Sabah, dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN