SIMBOLIK…. Mohd Rafi (tujuh dari kiri) secara simbolik merasmikan Gelanggang Seni Silat Cengkam Harimau Ghaib Tanjung Aru sambil diperhatikan Mohd Khairul (tiga dari kanan) dan Azis (empat dari kiri)
LABUAN: Generasi muda hari ini digalak supaya mewarisi ilmu persilatan agar seni mempertahankan diri yang diwarisi sejak zaman berzaman tidak tenggelam di talan zaman.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata, belajar ilmu silat bukan sahaja sebagai seni mempertahankan diri tetapi juga sebagai satu sukan yang memperjuangkan seni, budaya dan warisan masyarakat Melayu.
“Ilmu persilatan bukan semata mata mempertahankan diri tetapi juga boleh melahirkan atlit seni silat melalui acara sukan, malah diperingkat sekolah ia telah dijadikan salah satu aktiviti kokurikulum dan kini sukan silat akan dimasukkan sebagai salah satu acara di sukan Olimpik” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Gelanggang Silat Cengkam Harimau Ghaib Kampung Tanjung Aru baru-baru ini.
Hadir sama, Yang Di Pertua Persatuan Silat Kebangsaan (PESAKA), Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Khairol Abd. Ghani, Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Cengkam Harimau Ghaib Wilayah Persekutuan Labuan, Azis Japar, Guru Utama Persatuan Seni Silat Cengkam Harimau Ghaib Wilayah Persekutuan Labuan, Aripan @Erpan Ibrahim dan Penaung Gelanggan Seni Silat Cengkam Harimau Ghaib, Tanjung Aru, Guru Timbang Sulaiman.
HAJI AMIR dan Hamidah anak didik dari PESAKA Labuan yang berjaya mengharumkan nama Labuan dan negara di persada sukan Seni Silat .
Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan turut menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan PESAKA Labuan dan juga Persatuan Seni Silat Cengkam Harimau Ghaib Labuan yang telah berjaya melahirkan beberapa atlit silat sehingga terpilih untuk mewakili negara di beberapa kejohanan silat antarabangsa seperti Haji Amir Abdul Rahman yang pernah meraih pingat Sukan Asia di Busan Korea 2012 dan atlit silat wanita Siti Shazwana Ajak yang pernah menyumbang pingat emas di kejohanan Silat Kebangsaan tahun lalu.
“Malah seorang daripada pesilat wanita PESAKA Labuan iaitu Hamidah Mulok pernah dilantik sebagai jurulatih silat seni olahraga wanita Kebangsaan dan ini sudah pasti menjadi kebanggan warga Labuan”, katanya.
Mohd Rafi berkata, kejayaan pesilat Labuan yang dilahirkan oleh PESAKA dan Seni Silat Cengkam Harimau Ghaib perlu menjadi semangat kepada pesilat muda Labuan yang ada hari ini untuk terus berjaya.
Sementara itu, beliau juga berjanji untuk membantu PESAKA Labuan mendapatkan dana disamping membantu jurulatih silat wanita kebangsaan (Hamidah Mulok) yang khidmatnya sebagai jurulatih telah tamat pada 2022 dapat disambung semula.
“Saya akan berbincang dengan Prsiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin untuk membantu PESAKA Labuan mendapatkan dana di samping menyuarakan sokongan supaya jurulatih silat wanita kebangsaan Hamidah Mulok dapat di sambung semula” katanya.
Pada majlis itu Mohd Rafi turut menyerahkan sumbangan berupa Punching bag dan menjadikan gelanggang Seni Silat Cengkam Harimau Ghaib Tanjung Aru sebagai gelanggang angkat.