Baris ketiga duduk dari kiri), Shamsudin, Dr. Sapili dan Nurlinah bersama sebahagian ahli Keluarga Bagoh
SUDAH menjadi suatu kelaziman apabila menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, ramai orang akan balik ke kampung halaman untuk bertemu dengan keluarga. Para ahli keluarga akan berhimpun dalam satu majlis untuk sama-sama menikmati suasana di hari perayaan tersebut. Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji adalah salah satu perayaan terbesar yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia selain Hari Raya AidilFitri.
Bagi Dr. Sapili Bagoh@Bagu seorang kaunselor di Sekolah Menengah Kebangsaan Lohan Ranau, program raya pada tahun ini memberi kesempatan baginya untuk berkumpul dengan adik-baradik yang jarang-jarang dapat bersatu. Beliau menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat kembali meraikan sepenuhnya Hari Raya Aidiladha tahun ini selepas dua tahun berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Sempena cuti sekolah ini kita dapat menganjurkan himpunan kedua selepas Hari Raya Aidilfitri lalu bagi merapatkan hubungan kekeluargaan. Kita mahu perkukuh hubungan, terutama generasi muda agar dapat mengenali lebih rapat antara satu sama lain. Di kesempatan ini saya doakan agar generasi muda keluarga ini sentiasa berjaya dalam pelajaran demi kelangsungan hidup masing-masing pada masa akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Hari Keluarga yang diadakan di Redhill Residence Cafe Ranau, baru-baru ini.
Penulis ketika dihubungi Shamsudin Salamun (Guru Besar Sekolah Kebangsaan Karagasan Ranau) yang turut sama dalam majlis itu memberitahu, majlis tiga dalam satu tersebut merangkumi sambutan Hari Raya Aidiladha, Sambutan Hari Keluarga Bagoh Rungkup dan Sambutan Hari Jadi ahli keluarga yang lahir bulan Julai.
Katanya, Bagoh@ Bagu Rungkup dan isterinya Rusiah Bongoh (arwah) merupakan antara keluarga di Kampung Kinaratuan yang mempunyai anak bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan bahkan telah mengharumkan nama keluarga dan juga kampung halaman.
Mereka ialah Dr. Sapili Bagoh (PhD), merupakan anak sulung yang bertugas sebagai Kaunselor di SMK. Lohan, Linah Nurlina Bagoh@Bagu (B.K), Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun, Institut Pendidikan Guru Kampus Kent Tuaran, Lily Bagoh @ Bagu(Guru, SMK. Lohan), Sinah Bagu@Bagoh, Penolong Pegawai Akaun dan Pentadbiran (ICSB), Sister Sharifah Bagoh@Bagu (Ketua Unit Wad Lelaki/Respi, Hospital Ranau) dan Sherly Nurul Badriah Bagoh@Bagu (Guru, SRK. St. Cahtrine, Inanam Kota Kinabalu).
“Majlis tersebut bertujuan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan supaya ia lebih erat di setiap peringkat umur kerana ada di antara yang hadir baru pertama kali berjumpa. Syukur di Hari Raya Aidiladha tahun ini kami boleh menganjurkan program ini di luar selepas dua tahun berdepan dengan pandemik Covid-19,” jelas Shamsudin.